Setiap pengguna iPhone sering mengalami masalah serupa, iaitu kabel pengecas atau lightning cable yang mudah sangat rosak. Kadangkala, belum mencapai setahun penggunaan, ia sudah koyak walaupun kucing anda tidak menggigitnya.
Perkara ini bukan hanya terjadi pada barisan iPhone sahaja tetapi berlaku kepada semua produk daripada Apple termasuk iPad, iPod sehinggalah MacBook yang bernilai lebih RM10 ribu.
Kenapa dan bagaimana perkara ini terjadi? Mustahil syarikat elektronik gergasi dan terkenal ini tidak mengetahuinya. Mungkin anda menyangka Apple ini tidak bijak dan tidak tahu menghasilkan kabel yang berkualiti.
Buat pengetahuan anda, kerosakan kabel pada produk Apple ini terjadi selepas daripada tahun 2006.
Sebenarnya, pada suatu ketika dahulu, produk-produk Apple terutama yang ada pada Mac Pro mempunyai kabel yang sangat kuat dan tidak mudah rosak. Ia tampil dengan rekaan serta bahan kabel yang kita sering lihat pada barangan elektronik seperti televisyen (TV) mahupun komputer.
Namun, segalanya berubah. Pasukan yang bertanggungjawab dalam rekaan barangan Apple mengambil keputusan untuk mengubah rupa bentuk kabel tersebut.
Kata mereka, kabel yang sedia ada pada masa itu kelihatan sangat buruk dan tidak cantik. Mereka mahu menggantikannya dengan getah yang nipis untuk hanya satu tujuan – lebih menarik dan cantik.
{suggest}
Walau bagaimanapun, bahagian kejuruteraan Apple tahu sekiranya mereka bertindak untuk mengubahnya, kebarangkalian kabel tersebut rosak amatlah tinggi kerana tiada “pengikat” untuk mengatasi ketegangannya. Pun begitu, rekaan tersebut tetap digunakan. Itulah yang kita lihat sehingga hari ini.
Selain itu, pada tahun 2007 juga, mendiang Steve Jobs mengambil langkah untuk memastikan produk Apple lebih mesra alam sekitar atau “Greener Apple”.
Hasrat Apple adalah mereka mahu membuang segala bahan yang boleh mendatangkan kerosakan atau toksik yang terkandung dalam produk mereka.
Antara bahan yang tersenarai itu sudah pasti adalah plastic vinyl (PVC) yang digunakan secara meluas dalam kabel bagi memastikan ia lebih kuat dan tahan lama.
Disebabkan itu, kabel yang dijual pada masa sekarang berasaskan getah yang nipis tetapi bahan ini amat rapuh. Kabel daripada Apple juga dikatakan salah satu produk yang paling mudah rosak dalam industri teknologi di dunia.
Lebih sedekad sudah pun berlalu, Apple akhirnya akur dengan kesilapan mereka. Akhirnya, HomePod didatangkan kabel lebih tahan lasak.
Malah, iMac M1 baharu juga menggunakan bahan yang sama termasuk kabel fabrik USB-C ke Lightning. Walaupun begitu, kabel baharu itu hanya boleh didapati jika anda membeli komputer tersebut.
Akan tetapi, tidak mustahil sekiranya Apple akan menawarkannya kelak kepada semua produk mereka. Ini dapat lihat kabel Thunderbolt 3 Pro yang hadir dengan binaan lebih kuat telah pun dijual yang mana dahulunya ia adalah aksesori untuk iMac Pro.
Sumber: plasticisers, macworld, Apple Explained
Foto utama: Apple Discussion