Ini Mungkin Spesifikasi Penuh Galaxy Note 20 Ultra

Jika sebelum ini kita melihat keseluruhan reka bentuk akan diperagakan oleh Samsung Galaxy Note 20 Ultra, kali ini muncul pula spesifikasi lengkap yang akan dibawa pada model tersebut.

Menurut laman WinFuture, Galaxy Note 20 Ultra akan menjadi peranti pertama yang hadir dilindungi dengan Corning Gorilla Glass 7. Paparannya pula berukuran 6.9 inci dengan resolusi WQHD+, 120Hz dan dari jenis Dynamic AMOLED. Rekaan Infinity-O pada paparan pula akan ditempatkan dengan kamera 10MP dan panel hadapan juga akan dilengkapi sensor imbasan cap jari dibawah paparan.

Disebelah belakang, Galaxy Note 20 Ultra mempertaruhkan tiga kamera terdiri daripada sensor 108MP, 12MP ultra lebar dan 12MP telefoto. Kamera utama itu akan mempunyai keupayaan rakaman 8K sementara kamera periskop pula menawarkan 5x zoom optikal dan 50X Space Zoom.

Menguasakan peranti dari dalam adalah cip pemproses Exynos 990 untuk pasaran Eropah. Ia akan dipadankan dengan pasangan memori RAM 12GB serta pilihan storan antara 256GB atau 512GB berasaskan UFS 3.1. Dikhabarkan juga slot kad MikroSD akan disertakan pada peranti ini.

Janaan kuasa peranti pula akan diperoleh dari bateri berkapasiti 4500mAh dan mampu diisi dari 0%-50% dalam tempoh 30 minit melalui pengecas yang dibekalkan. Lain-lain spesifikasi yang akan hadir adalah S-Pen, USB-C, NFC, Wi-Fi 6, GPS dwi-frekuensi Samsung DeX, IP68, pengecasan tanpa wayar serta audio stereo sokongan AKG.

Terdapat dalam dua pilihan warna iaitu Mystic Bronze dan Mystic Black dan ia dijangka dijual pada harga melebihi €1,000 (~RM4898) untuk pasaran Eropah.

Sumber: WinFuture