Ini Mungkin Gambaran Awal Rekaan iPhone 16

Dengan pelancaran iPhone 15, Apple telah memperkenal perubahan rekaan seperti bingkai sedikit melengkung dan panel belakang jenis frosted glass. Terbaharu, laporan MacRumors memberikan gambaran awal bagi rekaan iPhone 16.

Sebagai sebahagian daripada proses reka bentuk ‌iPhone 16‌, Apple dilapor telah menghasilkan prototaip berbilang konfigurasi perkakasan, terutamanya dari segi pengubahsuaian reka letak kamera.

{suggest}

Menurut MacRumors, Apple menguji iPhone 16 dengan dua rekaan berbeza untuk bonggol kamera. Rekaan pertama seakan bonggol kamera iPhone 15, tetapi dengan lensa disusun secara vertikal atau menegak, seperti iPhone 12.

Sementara rekaan kedua seperti iPhone X, dengan kedua-dua lensa ditempatkan dalam satu bentuk pil menegak pada bonggol berempat segi.



Walaupun Apple mempertimbang kedua-dua rekaan itu, namun dikhabarkan reka letak kamera seperti iPhone 12 lebih digunakan secara meluas pada unit prototaip iPhone 16.

Dalam pada itu, Apple juga dikatakan bereksperimen dengan butang baharu. Melalui mockup di bawah, iPhone dengan warna kuning menampilkan butang Action, dengan butang kelantangan disatukan. ‌



iPhone‌ berwarna merah jambu mempunyai butang Action dan butang kelantangan mekanikal yang berasingan, manakala ‌iPhone‌ dengan warna Midnight mempunyai butang Action yang lebih besar serta butang Capture baharu di sisi kanan. ‌

Sementara di bahagian hadapan tidak mempunyai perubahan ketara, dengan kekal menggunakan Dynamic Island.

Setakat ini prototaip awal telah dilihat dalam tiga warna - kuning, merah jambu dan Midnight, manakala dokumentasi menunjukkan bahawa terdapat pilihan warna lain yang turut digunakan untuk ujian.



Dalam pada itu, laporan mengatakan maklumat ini dengan tepat menggambarkan reka bentuk awal iPhone 16, tetapi kewujudan tetapan perkakasan menunjukkan bahawa rancangan Apple masih belum dimuktamadkan. Bermakna, berkemungkinan terdapat perubahan untuk produk akhir iPhone 16 yang dijangka akan dilancarkan September tahun depan.

Sumber: MacRumors