Seperti diketahui, kerajaan Malaysia kini beralih daripada subsidi petrol menyeluruh kepada subsidi bersasar untuk RON95 yang dinamakan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Melalui inisiatif ini, warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif layak menikmati harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter. Setiap pengguna menerima kuota subsidi sehingga 300 liter sebulan.
Subsidi ini boleh digunakan dengan MyKad di kaunter atau pam minyak, serta melalui mekanisme digital seperti e-dompet Touch ‘n Go (TNG) eWallet dan aplikasi rasmi syarikat minyak.
Bagi penggunaan TNG eWallet, ia membolehkan pengisian lebih mudah dan pantas. Antara kelebihannya termasuk bayaran secara digital tanpa perlu membawa MyKad untuk pengesahan.
Daftar TNG eWallet
Jika belum pernah menggunakan TNG eWallet, muat turun aplikasi Touch ‘n Go eWallet dari Aple App Store, Google Play atau Huawei AppGallery. Kemudian daftar dan sahkan akaun.
Akses BUDI95 dalam TNG eWallet
Untuk menyemak kelayakan dan peruntukan subsidi, tekan ikon BUDI95 di skrin utama eWallet. Jika ikon tidak kelihatan, tekan “More” dan taip “BUDI95” dalam bar carian di bahagian atas.
Beli petrol RON95
Sebelum itu, pastikan baki eWallet mencukupi. Tambah nilai boleh dibuat melalui DuitNow. Kemudian, ikut langkah di bawah:
- Berhenti di pam minyak
- Buka BUDI95 di TNG eWallet dan tekan “Buy Fuel”
- Pilih atau sahkan stesen minyak yang dikesan secara automatik. Jika tidak dapat melihat mana-mana stesen minyak, pastikan tetapan lokasi peranti diaktifkan.
- Masukkan nombor pam dan jumlah petrol yang ingin dibeli
- Kod QR akan dipaparkan selepas bayaran dibuat
Aktifkan pam
Tunjukkan kod QR di kaunter untuk diimbas oleh kakitangan stesen minyak. Selepas kod QR diimbas, pam akan diaktifkan dan pengguna boleh mula mengisi minyak.
Ketersediaan
Pelancaran BUDI95 di aplikasi TNG eWallet akan dibuat secara berperingkat, bermula pada 27 September 2025 khusus untuk anggota polis dan tentera, diikuti pada 28 September 2025 bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Seterusnya, bermula 30 September 2025, semua rakyat Malaysia yang memiliki MyKad serta lesen memandu yang sah boleh mula menikmati subsidi ini melalui TNG eWallet.
{suggest}