Pada 24 Disember 2021, NASA telah melancarkan teleskop terbaharu ke angkasa untuk menjadi penerus kepada Teleskop Hubble (Hubble Space Telescope) dan dikenali sebagai Teleskop James Webb (James Webb Space Telescope).
NASA mengambil masa 30 tahun dan $10 bilion (RM41.69 bilion) untuk membina TJW ini. Teleskop ini dibina untuk membenarkan manusia membuat kajian tentang angkasa dengan lebih mendalam. Hal ini dikatakan demikian kerana, TJW ini adalah ciptaan teleskop yang paling berkuasa pernah dibina pada abad ini.
Ia telah dilancarkan ke angkasa menggunakan Roket Ariane 5 di Lapangan Angkasa Eropah, Kourou, French Guiana. Destinasi bagi TJW ini adalah di Lagrange Point 2 (L2) dimana kedudukan ini adalah 1.5 juta KM daripada bumi.
TJW ini dibina dengan 18 kaca berbentuk hexagon dengan diameter sebesar 1.32 meter untuk sekeping kaca hexagon tersebut. Hexagon ini pula dibina daripada bahan beryllium yang disalut emas kerana beryllium sendiri adalah bukan bahan pantulan.
Pemilihan emas juga adalah bertujuan untuk menangkap spektrum inframerah dengan lebih mudah. Seperti yang kita tahu, inframerah merupakan spektrum yang mampu melangkaui jarak yang sangat jauh. Inframerah juga dapat menembusi awan debu angkasa (space dust cloud) membolehkan TJW menangkap spektrum cahaya ini tanpa masalah.
Jika hendak dibandingkan, Teleskop Hubble mempunyai 2.4 meter diameter manakala TJW pula adalah 6.5 meter. Dengan saiz sebesar itu, TJW ini 100 kali lebih berkuasa daripada Teleskop Hubble, mempunyai kelebihan untuk menangkap cahaya 7 kali ganda lebih banyak sekali gus dapat melihat lebih jauh ke masa silam.
Mengapa saya kata “melihat ke masa silam”? Ini kerana setiap bintang yang kita lihat sebenarnya adalah bintang daripada masa silam. Saya beri contoh, bintang yang paling dekat dengan kita iaitu matahari. Jarak kita dengan matahari adalah 147.1 juta km atau 8.3 minit kelajuan cahaya.
Bermaksud, cahaya matahari yang kita lihat sekarang adalah cahaya 8 minit yang lepas. Apa-apa yang terjadi pada matahari kita akan dapat melihatnya 8 minit kemudian di bumi.
TJW ini akan menjalankan beberapa misi besar seperti mengkaji Sistem Suria Trappist-1, bintang kerdil merah dan lohong hitam Milky Way. Ia juga akan menjalankan misi mengkaji jirim gelap (dark matter) dan kelahiran bintang. Tempoh TJW ini dijangka akan beroperasi selama 10 tahun sebelum ia kehabisan minyak. Buat masa ini, tiada lagi cara untuk mengisi semula minyak TJW kerana jaraknya yang jauh daripada bumi.
Namun apa yang pasti, TJW ini boleh membantu manusia untuk menambah baik Teori Big Bang dan kelahiran alam semesta dengan sumber yang mencukupi serta dapat merungkai lebih banyak keraguan manusia mengenai alam semesta. Pada masa akan datang juga, teleskop ini juga akan berkolaborasi dengan Event Horizon Telescope (teleskop pertama yang menangkap gambar lohong hitam).
Sumber: NASA
Baca juga: