Saintis mendakwa, mereka kini telah mengesan sesuatu yang pelik sedang berlaku ke atas medan magnet Bumi .
Mereka menyatakan sejak 200 tahun dahulu, medan magnetik Bumi kini semakin lemah yang menyebabkan magnetik Kutub Utara beralih dari Canada Arctic menghala ke Siberia.
Malah dalam tempoh beberapa dekad ini saintis mendapati peralihan yang berlaku secara sangat perlahan itu kini semakin pantas sehingga jarak peralihannya kini selaju 30 batu (48.2803km) setahun.
Keadaan ini menyebabkan saintis meramalkan yang kedudukan Kutub Selatan dan Kutub Utara akan berubah. Bahasa mudahnya, Kutub Selatan yang kita kenali kini akan diambil alih oleh Kutub Utara dan Kutub Utara akan diambil alih oleh Kutub Selatan.
Medan magnetik Bumi dihasilkan daripada perolakan besi lebur di dalam teras Bumi yang terletak pada ke dalaman 1,800 batu (2896.819km) dari permukaan Bumi.
Menurut saintis, peralihan medan magnetik Bumi telah berlaku berulang kali sejak 4 bilion tahun dahulu lagi. Malah mereka mendakwa, sejak 2.6 bilion tahun lalu, medan magnet telah beralih sebanyak 10 kali.
Malah saintis percaya peralihan tersebut sudah terlebih dari had masanya di mana kali terakhir peralihan tersebut berlaku pada sekitar 780,000 tahun dahulu.
Saintis bimbangi peralihan kedudukan Kutub Selatan dan Kutub Utara akan mengelirukan hidupan liar yang berhijrah pada setiap tahun.
Selain itu, turut dibimbangi dari kelemahan medan magnetik Bumi adalah kesan terhadap peralatan teknologi seperti satelit.
Ini kerana, medan magnetik Bumi turut berperanan melindungi Bumi daripada kesan ribut solar atau pertembungan sinar kosmos dengan litar elektronik.
Saintis menyatakan, kesan daripada medan magnetik yang lemah yang berlaku di Lautan Atlantik yang dikenali sebagai “South Atlantic Anomaly” sudah pu n memberi kesan ke atas satelit. Sekaligus memberikan gambaran awal kesan lain yang akan tiba pada masa hadapan.
Walaubagaimanapun saintis berkata, tahap kesan daripada peralihan kedudukan Kutub Selatan dan Kutub Utara adalah bergantung tempoh peralihan itu akan berlaku.
Jika ia berlaku dalam tempoh yang panjang sehingga ribuan tahun, manusia serta hidupan liar yang berhijrah mungkin akan dapat membiasakan dengan perubahan itu.
Sumber: Discover Magazine, Agensi Angkasa Eropah, 52nd Lunar and Planetary Science Conference 2021, Advancing Earth And Space Science, Current Biology, Smithsonian Magazine, ESA, NASA