Awal pagi tadi, pengguna iPhone tempatan sudah mula menerima kemas kini terbaru daripada Apple, iaitu iOS 15. Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, iOS 15 tidak memberi perubahan ketara dari segi antara mukanya tetapi terdapat beberapa penambahan bagi kegunaan lebih baik.
Oleh yang demikian, ini adalah perkara baharu yang ada pada iOS 15:
SharePlay
Alangkah indahnya jika dapat menonton filem atau siri drama bersama rakan yang berjauhan. Oleh itu, SharePlay yang terdapat dalam FaceTime membenarkan anda berbuat demikian.
Antara perkhidmatan yang boleh digunakan bersama SharePlay adalah seperti Disney+, HBO Max, Hulu, TikTok dan banyak lagi. Pun begitu, fungsi ini masih belum muncul dalam versi iOS 15.0.
Pautan FaceTime
Masih lagi dalam FaceTime, jika dahulu aplikasi ini terhad buat pengguna Apple sahaja. Kini, anda boleh mencipta pautan (link) dan kemudian boleh dikongsikan kepada rakan-rakan.
Fungsinya adalah mereka boleh turut serta bersama anda dalam panggilan video tersebut.
Focus
Rasanya ramai juga tertanya tentang ini dan keliru apabila ia dipaparkan pada iPhone. Focus mode ini merupakan antara ciri yang paling menarik.
Ia membolehkan pengguna untuk menetapkan notifikasi apa yang boleh muncul serta aplikasi apa yang dipaparkan pada halaman utama ketika mod ini diaktifkan.
Disebabkan itulah anda ada lihat ia memaparkan “personal”, “work” dan “sleep” secara lalai. Anda boleh mengubah tetapan yang dibuat oleh Apple itu dan juga menambah mod baharu seperti “gaming” atau “exercise” atau “social”.
Sebagai contoh anda cipta focus mode “social” dan menjadualkannya mulai 7 malam hingga 12 tengah malam, padanya hanya terdapat aplikasi Facebook, Twitter atau TikTok.
Jadi, dalam tempoh tersebut, mana-mana aplikasi selain daripada yang anda tetapkan itu tidak akan muncul notifikasi ketika anda sedang menikmati masa lapang anda. Mudah cerita, dapat “me time” tanpa sebarang gangguan.
Safari Tab Groups
Bermula iOS 15, ekosistem Apple semakin meluas. Dengan pelayar Safari yang diperbaharui, segala yang anda lakukan di iPhone, boleh diakses pada peranti iPad atau Mac.
Selain itu, tab bar baharu yang terapung pada bahagian bawah juga lebih mudah untuk digunakan ketika menukar tab. Malah, sangat berguna untuk yang menggunakan iPhone yang bersaiz besar.
Aplikasi Health
Mungkin ada yang terlupa bahawa aplikasi Health wujud dalam iOS. Menerusi iOS 15, anda boleh berkongsikan maklumat kesihatan bersama keluarga.
Anda juga boleh menerima notifikasi seperti aktiviti, kadar degupan jantung dan lain-lain daripada keluarga. Secara tidak langsung, mudah untuk memantau kesihatan mereka walaupun dari jauh.
Photos
Dalam Photos, ia menerima pembaharuan seperti memories, antara mula lebih interaktif serta integrasi dengan Apple Music
Selain itu, anda juga boleh menyalin teks yang ada pada gambar dan kali ini, gambar yang ada di Photos juga boleh memaparkan maklumat teperinci seperti diambil dari iPhone apa, guna lensa mana serta metadata.
Notifikasi
Ini juga antara fungsi menarik yang wujud di iOS 15. Notifikasi yang diperbaharui ini lebih mudah untuk dilihat. Anda juga boleh “mute” seketika aplikasi tertentu serta menetapkan ringkasan notifikasi.
Live Text
Selain boleh menyalin teks daripada gambar di Photos, anda juga boleh buka aplikasi kamera dan salin teks terus secara langsung (live) yang ada di hadapan anda, menterjemah serta membuat carian di internet.
Jika ada nombor telefon, anda boleh tekan nombor yang terpapar untuk membuat panggilan dengan mudah.
**Ciri ini hanya boleh digunakan untuk peranti yang dilengkapi cip pemproses Apple A12 Bionic dan ke atas (contoh:- iPhone XS, iPhone SE 2020 dan terbaru).
Privasi
Apple mempertingkatkan lagi ciri privasi buat penggunanya seperti App Privacy Report. Ia memaparkankan aplikasi mana yang kerap mengakses data pengguna.
Di samping itu, pengguna iCloud juga akan menerima iCloud+ yang mana ia menawarkan seperti Private Relay dan Hide My Email.
Selain iOS 15, pengguna iPad dan Apple Watch juga sudah boleh memuat turun iPadOS 15 serta watchOS 8.
Oleh itu, adakah anda suka terhadap kemas kini terbaharu ini? Tekan pautan INI jika anda khuatir terhadap prestasi bateri.
Walau apa pun, terdapat beberapa penambahbaikan lain yang ada pada iOS 15, anda boleh tekan pautan INI atau INI untuk maklumat lanjut.
Baca juga: