Selepas pengenalan produk baharu daripada Apple, mereka juga mengumumkan kemas kini iOS 15, iPadOS 15, watchOS 8 dan tvOS 15 yang kesemuanya tersedia buat pengguna pada 20 September ini.
Menerusi iOS 15, tiada banyak perubahan dari mata kasar kerana ramai yang mengharapkan sesuatu yang menarik sepertimana yang dilihat pada Android 12.
Bagaimanapun, iOS 15 masih lagi hadir dengan beberapa fungsi baharu dan menawarkan penggunaan lebih baik berbanding iOS 14. Oleh itu, ini adalah lima ciri menarik dalam iOS 15.
Focus
Namanya berubah tetapi hakikatnya ia hanyalah “Do not disturb” versi baharu. Jika sebelum ini, tidak banyak yang boleh dibuat ketika mengaktifkan mod Do not disturb.
Namun, Focus Mode memberikan kebebasan kepada anda untuk menyesuaikan notifikasi apa yang diterima, aplikasi apa yang ada di halaman utama dan lain-lain.
Ketika mengaktifkannya juga, secara tidak langsung peranti Apple anda yang lain seperti Mac, Apple Watch dan iPad juga akan diaktifkan bersama.
Notifikasi
Apple telah mengemaskini paparan notifikasi pada iOS 15. Sekiranya anda menerima mesej menerusi iMessage, ia akan memaparkan gambar profil sekali.
Selain itu, ringkasan notifikasi (notification summary) membolehkan anda untuk menyusun penerimaan notifikasi. Ia juga akan menghantar notifikasi tersebut mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Bahkan, ia turut memaparkan notifkasi yang diterima semasa anda aktifkan Focus Mode.
Tambahan lagi, jika anda seorang pempengaruh Twitter yang gemar membuat rajutan (threads) atau suka menurunkan komen di Facebook atau Instagram, anda boleh menghentikan seketika notifikasi maklum balas daripadanya.
iPhone akan memberikan cadangan kepada anda untuk aktifkannya jika terdapat notifikasi yang masuk begitu banyak dalam satu-satu masa.
FaceTime Dan SharePlay
Pengalaman menggunakan FaceTime selepas ini lebih menyeronokkan kerana ia hadir dengan Spatial Audio, mod potret serta mod mikrofon yang boleh dipilih untuk memberikan bunyi suara percakapan lebih baik.
Tambahan lagi, pengguna Apple dan Android juga boleh bersatu kerana anda boleh mencipta pautan FaceTime. Tujuannya adalah membenarkan anda dan rakan anda untuk menikmati panggilan video bersama.
Tatkala menikmati panggilan video, fungsi SharePlay juga membolehkan anda untuk berkongsi skrin seperti mahu menunjuk tutorial atau bergosip. Selain itu, anda juga boleh menonton filem, rancangan kegemaran atau dengar muzik bersama.
Pun begitu, Netflix masih lagi tidak disokong dan fungsi SharePlay juga “hilang” buat sementara waktu disebabkan beberapa masalah semasa peringkat beta.
Bermakna, selepas kemas kini nanti, anda tidak akan menjumpainya di bahagian tetapan. Mungkin ia akan muncul semula pada iOS 15.1 atau iOS 15.2 kelak.
Live Text
Ciri ini mirip dengan Google Lens. Ia boleh menterjemah teks secara langsung. Anda juga boleh pilih (select) teks ketika membuka aplikasi kamera atau daripada gambar yang telah diambil untuk tujuan menyalin (copy), membuat panggilan dan sebagainya.
Namun, bukan semua pengguna boleh menggunakannya. Ini kerana ia memerlukan peranti yang dilengkapi cip A12 Bionic. Maknanya, iPhone X, iPhone 8 dan senasib dengannya tidak dapat menikmati ciri ini.
Safari
Pelayar Safari juga diberi nafas baharu seperti bar navigasi di bahagian bawah atau atas, boleh menambah sambungan (extension), carian menggunakan suara, tab group, keselamatan serta privasi lebih baik dan halaman skrin yang boleh disesuaikan seperti yang ada di Mac serta iPad.
Kesimpulan
Ada beberapa fungsi baharu lain seperti memaparkan maklumat terperinci terhadap gambar, sokongan baharu buat pengguna AirPods Pro, carian lebih banyak dalam Spotlight, iCloud Private Relay, ciri tambahan untuk Notes dan banyak lagi.
Secara asasnya, iOS 15 adalah iOS 14 yang ditambah baik sahaja. Mungkin perubahan ketara akan berlaku pada iOS 16. Jika anda khuatir tentang jangka hayat bateri, setakat penggunaan iOS 15 beta sebelum ini dan versi RC, boleh dikatakan stabil dan tidak menunjukkan penurunan bateri yang teruk atau berasa panas dan sebagainya.
Disebabkan ini adalah major update, saiznya adalah besar dan melebihi 5GB. Oleh itu, pastikan anda mempunyai sambungan internet yang baik ketika muat turun.
Dijangka iOS 15 akan dilepaskan kepada pengguna tempatan sekitar 1 pagi 21 September 2021.
Tekan PAUTAN INI untuk mengetahui iPhone yang sokong iOS 15.
Baca juga: