Organisasi masih belum bersedia mendepani risiko yang dibawa oleh pengkomputeran kuantum, kata Naib Presiden IBM bagi Eropah dan Afrika, Alessandro Curioni kepada AFP pada Rabu, merujuk kepada teknologi berasaskan kelajuan tinggi yang mampu memecahkan enskripsi keselamatan dan membolehkan serangan siber berskala besar berlaku.
“Jika anda melihat dunia hari ini, berapa banyak organisasi yang telah berada dalam keadaan selamat daripada ancaman kuantum (quantum safe)? Saya boleh katakan kurang daripada 10 peratus buat masa ini,” kata Curioni di persidangan di London yang dianjurkan oleh syarikat perintis teknologi Amerika Syarikat itu.
IBM, sebuah syarikat peneraju dalam bidang tersebut yang bersaing rapat dengan Microsoft dan Google, menyasarkan untuk membangunkan komputer kuantum “berskala besar dan bertoleransi ralat” (fault-tolerant) bagi kegunaan pelanggan komersial menjelang tahun 2029.
Syarikat tersebut berhasrat membangunkan komputer kuantum yang mampu mengendalikan pengiraan secara berkesan mengatasi keupayaan komputer klasik sedia ada.
Mesin pengkomputeran kuantum berupaya memproses data dengan pantas menggunakan ciri-ciri fizik kuantum, sekali gus membantu menyelesaikan masalah kompleks seperti pembangunan ubat-ubatan baharu mahupun bahan sains.
Walau bagaimanapun, teknologi ini juga boleh digunakan untuk memecahkan enkripsi yang melindungi data serta komunikasi penting, yang menyebabkan negara seperti Britain menggesa pelbagai organisasi memperkukuh sistem maklumat masing-masing.
Amaran daripada Curioni ini hadir di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai keupayaan kecerdasan buatan (AI) untuk menggodam sistem komputer susulan siri serangan berprofil tinggi di peringkat global.
Curioni, yang juga ketua Makmal Penyelidikan IBM di Zurich, menyuarakan kebimbangan mengenai potensi kesan buruk terhadap “internet, kesemua rantaian blok (blockchain), bank, kontrak kewangan dan tandatangan digital”.
“Pertama, mereka mungkin akan menyerang institusi kewangan, kemudian sektor industri, dan seterusnya bank,” kata Curioni mengenai potensi ancaman daripada pihak jahat.
Komputer kuantum sedia ada pada masa ini masih belum cukup berkuasa untuk melancarkan serangan sedemikian, dan ia masih belum jelas bila teknologi tersebut akan mencapai tahap berkenaan.
“Saya fikir risiko terbesar untuk kita sebenarnya ialah data kita berkemungkinan besar telah pun dituai (harvested),” kata David Debnam, Pengarah Risiko Operasi di syarikat insurans Britain, Aviva, pada persidangan tersebut.
Sekiranya pihak berniat jahat menyimpan jumlah data yang besar dari sekarang, mereka boleh menyahsulit (decrypt) data tersebut sebaik sahaja komputer kuantum menjadi semakin canggih kelak.
UK mengesyorkan agar organisasi beralih kepada sistem kriptografi kalis kuantum (quantum-resistant) menjelang tahun 2035 demi melindungi data mereka.
Amerika Syarikat, China dan Perancis turut terlibat secara aktif dalam pembangunan pengkomputeran kuantum, yang dianggarkan oleh McKinsey boleh menjana nilai ekonomi sehingga $2.7 trilion menjelang tahun 2035.
Menurut Curioni, manfaat pengkomputeran kuantum adalah sangat besar, dan apabila digabungkan dengan keupayaan pemikiran abstrak AI, ia mampu “mensediakan simulasi bagi masalah yang terlalu kompleks dari sudut pandangan fizik”. – AFP
