Huawei Mungkin Lancarkan Peranti Dengan Skrin Meluncur, Dwi-Kamera Hadapan

Rekaan skrin bertakuk terpaksa digunakan oleh pengeluar bagi memberikan paparan maksima kepada pengguna walaupun ia kurang popular dikalangan mereka.

Memahami keadaaan itu, banyak pengeluar cuba mengetengahkan idea mereka sendiri untuk berhenti menggunakan rekaan berkenaan, namun kekal menawarkan paparan penuh pada setiap peranti mereka.

Kami berpendapat, antara cara terbaik menyelesaikan masalah berkenaan ialah dengan menggunakan mekanisma skrin boleh luncur, seperti yang digunapakai pada Xiaomi Mi Mix 3.

Mungkin atas sebab itulah Huawei pula dikatakan akan hadir dengan peranti yang menggunakan mekanisma sama tidak lama lagi.

Ia berdasarkan satu rekaan paten Huawei yang disiarkan oleh WIPO yang telah dikesan oleh pihak LetsGoDigital beberapa hari lepas.


Kredit: LetsGoDigital

Tambahan pula menurut rekaan tersebut, peranti itu nanti berkemungkinan besar akan mempunyai dua lensa kamera swafoto.

Akan tetapi, ia mungkin bukannya sebuah peranti kelas perdana memandangkan rekaan paten itu menunjukkan bahawa ia hanya mempunyai dua lensa kamera utama sahaja.

Selain itu, tiada sensor imbasan cap jari yang kelihatan sekaligus memberi gambaran peranti ini akan menggunakan imbasan cap jari pada skrin apabila dilancarkan nanti.

Bagaimanapun, ia hanyalah sekadar rekaan paten yang didedahkan dan tidak semestinya peranti sedemikian akan dilancarkan di masa akan datang.

 

Sumber: LetsGoDigital via TechRadar

Berkaitan