Suatu ketika dulu, telefon jenama HTC merupakan karya agung yang diminati ramai. Boleh dikatakan HTC menawarkan segala-galanya – rupa, pengalaman, dan prestasi. Pendek kata, jika anda memilikinya, pasti anda akan menyukainya.
HTC menawarkan reka bentuk cantik dan perincian yang menarik. Bahkan jika difikirkan kembali, HTC boleh dianggap seperti Apple dalam dunia Android.
Untuk pengetahuan anda, HTC pernah menjadi satu jenama telefon pintar yang sangat berpengaruh. Antara kejayaan terbesar HTC termasuk mengeluarkan peranti Android yang pertama, mereka bentuk sebilangan peranti Nexus Google, serta pernah menjadi pengeluar telefon Android terbesar di Amerika Syarikat.
Namun, era kegemilangan HTC tamat dan hilang dari pengetahuan orang ramai semenjak telefon terakhir mereka dikeluarkan iaitu pada bulan Mei 2018.
Apakah sebab dan punca kejatuhan jenama HTC? Jom kita teliti kembali ke zaman sebelum adanya Samsung dan kebanyakan peranti Android yang kita kenali kini.
Pengasas HTC
Cher Wang dilahirkan pada tahun 1958 di Taiwan dan belajar di Amerika Syarikat pada tahun 1981, berkelulusan ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dari Universiti California.
Pada tahun berikutnya, dia menyertai sebuah firma dari Taiwan yang dikenali sebagai FIC (First International Computer), dan dari sini Wang belajar tentang hal perniagaan dan operasi.
Bertahun-tahun kemudian pada tahun 1997, Cher Wang mula berkeinginan untuk membuka syarikat sendiri, maka lahirlah HTC (High Tech Corporation).
Pada awalnya, HTC hanyalah pengeluar komputer riba. Hanya setahun kemudian, syarikat tersebut mula mereka bentuk beberapa peranti sentuh dan tanpa wayar pertama di dunia.
Titik permulaan kemajuan HTC
Pada tahun 2004, bekas rakan sekerja Cher Wang, Peter Chou, telah mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif HTC. Dari situ, HTC mula mengeluarkan telefon mudah alih PDA dan telefon pintar.
Kemudian pada tahun 2008, HTC mengeluarkan peranti pertama di dunia yang dikuasakan oleh Android, iaitu HTC Dream. Tahun yang sama, mereka melancarkan telefon pintar 4G Amerika pertama diikuti dengan menghasilkan rekaan untuk telefon pertama Google, Nexus One pada tahun 2010.
Peter Chou, seorang yang cekap dalam membuat keputusan serta sangat teliti, sentiasa mementingkan kesempurnaan telefon pintar mereka. Segala butiran besar dan kecil pada telefon yang dihasilkan akan diperiksa terlebih dahulu.
Malah, beliau juga akan mengkritik apa-apa keputusan dari pihak pengurusan, yang akhirnya menjadi masalah utama dalam syarikat HTC. Tapi buat masa ini, pada bulan November 2009, HTC telah berjaya mengeluarkan peranti mereka yang seterusnya, HTC HD2.
HTC HD2 merupakan peranti mudah alih Windows pertama di dunia dengan skrin sentuh kapasitif. Sebelum ini, semua telefon Windows hadir dengan sentuhan rintangan, menjadikannya sukar untuk digunakan. Oleh itu, HTC HD2 dengan mudahnya telah menempa nama dalam dunia telefon pintar.
Tidah lama selepas itu, pada tahun 2010, HTC dinamakan sebagai salah satu syarikat paling inovatif di dunia. Pendek kata, mereka adalah saingan yang setanding dengan Apple.
Kejayaan HTC
HTC sangat mengambil berat tentang reka bentuk perkakasan dan perisian. Telefon pintar mereka memberi pengguna pengalaman dan rasa level premium.
Setiap rekaan peranti HTC direka dengan sangat kemas dengan menggunakan unibody Aluminium. Jika dibandingkan pada waktu itu, jenama HTC sudah sangat maju kerana lebih 10 tahun lepas, kebanyakan telefon pintar Android masih lagi dihasilkan menggunakan plastik.
HTC juga didatangkan dengan pembesar suara stereo yang kemudiannya menjadi ikutan kebanyakan pengeluar telefon pintar. Terbukti keseriusan Peter Chou terhadap setiap perincian memang membuahkan hasil.
Tambahan lagi, perisian dalam peranti HTC merupakan salah satu kehebatan utama HTC.
Sila maklum pada tahun 2009, pelbagai masalah dihadapi oleh Windows Mobile. Jadi untuk menangani perkara ini, HTC mencipta perisian yang dijalankan berasaskan Windows mudah alih yang dipanggil TouchFLO 3D.
Dalam TouchFLO 3D, HTC telah menambahbaik antara muka Windows yang bosan dan menyusahkan kepada antara muka yang lebih menarik dan inovatif. Apabila dunia beralih dari Windows Mobile ke Android, perisian TouchFLO 3D serta merta menjadi penanda aras pengeluar peranti Android.
Disebabkan pada masa itu Android berdepan pelbagai masalah, HTC yang banyak menyelesaikan segala isu yang berkaitan. Pengguna juga makin ramai menunjukkan minat dan HTC mula menerima pujian yang meluas. Sekitar tahun 2010, HTC mencapai puncak kegemilangannya.
Kehadiran Samsung
Samsung tentunya telah mula memerhati pencapaian HTC dan memutuskan untuk menghasilkan antaramuka Android mereka sendiri yang dinamakan Touchwiz. Model Samsung Galaxy S pada tahun 2010 menjadi pencetus perubahan pada waktu itu.
Tidak lama kemudian, Samsung mula membanjiri pasaran dengan peranti mereka.
Sejak dari itu, HTC dan Samsung kedua-duanya mula mengeluarkan telefon demi telefon. Oleh sebab pemasaran Samsung yang lebih baik dari HTC, Samsung mula mengambil alih tapak kejayaan HTC.
Dalam erti kata lain, tahun 2010 adalah tahun bersejarah dalam industri telefon pintar. Orang ramai mula sedar bahawa telefon pintar bukan sekadar telefon PDA, tetapi telefon yang boleh mengubah peradaban dunia.
Samsung masih tidak dikenali ramai pada masa itu tetapi dengan pantas, ia mula menempa nama dalam industri. Jadi untuk HTC terus mengukuhkan kedudukan dalam pasaran, mereka sepatutnya menggandakan pengeluaran dan modal dalam penyelidikan, pembangunan, dan pemasaran.
Dari sini, HTC mula tersilap langkah. HTC telah mengalihkan tumpuan mereka dengan melabur dalam pasaran yang tidak ada kena mengena dengan telefon pintar.
HTC silap percaturan
Pada awalnya, HTC mula meletakkan pelaburan tinggi dalam syarikat S3 Graphics, sebuah syarikat pengeluar grafik komputer. Malangnya, kerjasama ini gagal dalam mencipta perkakasan baharu untuk telefon HTC untuk syarikat mereka sendiri atau memberi lesen kepada pengeluar telefon pintar lain.
HTC kemudian menceburi bidang penstriman dengan melabur hampir US$90 juta dalam dua platform penstriman, Live dan Saffron. Sekali lagi, kedua-dua usaha itu tidak membuahkan hasil.
Kemudian pada tahun 2011, HTC membeli 51 peratus saham dari Beats Electronics yang bernilai US$300 juta. HTC kemudian menjual milikannya dengan keuntungan 56 juta dolar dua tahun kemudian.
Hanya setahun kemudian pada tahun 2014, Apple muncul dan membeli syarikat Beats pada harga US$3 bilion.
Mungkin HTC cuba untuk mempelbagaikan perkhidmatan dan produk mereka tetapi malangnya semua usaha akhirnya gagal.
Kejatuhan HTC
Semasa HTC berusaha untuk mengembalikan kegemilangan mereka, Samsung mula menunjukkan kehebatannya dengan menghasilkan paparan dan memori flash untuk kedua-dua telefon mereka serta untuk pengeluar utama telefon pintar lain seperi iPhone Apple dan juga HTC.
Syarikat Samsung mula mendominasi pasaran Android sedikit demi sedikit. Pastinya tamparan hebat ini sukar ditangani oleh HTC tetapi kesilapan mereka seterusnya yang memburukkan lagi keadaan.
Strategi “senyap”
Dari tahun 2009 hingga 2013, HTC memilih strategi “quietly brilliant” atau “senyap” sebagai strategi pemasarannya kerana meletakkan kepercayaan kepada kualiti produk dan jenama mereka.
Tak dapat dinafikan, sesiapa yang menggunakan peranti HTC akan pasti menyukainya. Namun permasalahannya di sini adalah apabila ditanyakan pada orang sekeliling, tidak ramai yang mengenali HTC.
Lebih parah lagi, sambil HTC “senyap”, Samsung sedang giat memerli peminat Apple dalam pengiklanan mereka. Kempen itu telah berjaya menonjolkan jenama Samsung dalam industri telefon pintar.
Hal ini telah mencetuskan “perang” antara pengguna Apple dan Android yang begitu besar. Malah hingga ke hari ini, anda juga masih boleh lihat “perang” ini berlaku.
Pasaran HTC jatuh
Menjelang tahun 2011, bahagian pasaran HTC merosot separuh daripada 67 peratus kepada 32 peratus manakala bahagian pasaran Samsung meningkat lebih lima kali ganda daripada 4 peratus kepada 27 peratus.
Pada tahun berikutnya, Samsung menyaksikan peningkatan tahun demi tahun sehingga 300 peratus dan Apple pula setinggi 200 peratus. Sementara itu, HTC boleh dikatakan masih kekal sama.
Tahun demi tahun, HTC hanya menyaksikan peningkatan sebanyak 17 peratus. Pemilihan nama untuk setiap model baru HTC pula semakin membosankan – Cha-cha, Salsa, Vivid, Velocity, dan Maze.
Mereka juga mengulangi nama lama seperti HTC One yang telah mengelirukan pembeli. Jika dibandingkan dengan Samsung pula, mereka menggunakan skema penamaan model yang mudah seperti Galaxy S dan diikuti dengan nombor.
Walaupun memenangi anugerah reka bentuk pada tahun 2013, HTC tetap tidak mampu untuk mengubah kesilapan sendiri. Kritikan pedas dari Peter Chou terhadap pihak pengurusan mengeruhkan lagi keadaan yang sudahpun buruk pada waktu itu.
Ini membawa kepada kehilangan ramai orang penting dalam syarikat HTC. Pada tahun 2013, HTC telah kehilangan naib presiden komunikasi global, pengurus pemasaran runcit, pengarah pemasaran digital, dan pengurus strategi produk.
Microsoft mula menghidu pergolakan yang berlaku dan mula pertimbangkan untuk membeli syarikat HTC. Namun akhirnya, Microsoft memutuskan untuk memilih Nokia dan bukan HTC.
Menjelang tahun 2015, Peter Chou telah meletak jawatan dan Cher Wang kembali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif HTC.
Keadaan tetap menjadi semakin parah dan pada tahun 2015, harga saham mereka jatuh lebih 60 peratus pada tahun itu dan 90 peratus sejak tahun 2011. Nilai pasaran saham mereka tersangatlah rendah sehingga terkeluar dari bursa utama dalam indeks saham Taiwan.
Pada waktu itulah Cher Wang menyedari bahawa syarikatnya memerlukan hala tuju baharu dan tidak boleh kekal lagi dalam industri telefon pintar.
Permulaan baru buat HTC
Sejak dari itu, HTC mula menceburi industri fon kepala realiti maya (VR). Dengan kerjasama Vive, mereka mula mengeluarkan fon kepala VR.
Dari tahun 2016, fon kepala itu nampaknya berjaya dengan sendirinya. HTC memiliki kira-kira 13 peratus dari pasaran VR.
Walau bagaimanapun pada tahun 2017, Google muncul dan memperoleh separuh daripada pasukan penyelidikan dan reka bentuknya yang bernilai US$1.1 bilion.
Kemudian pada tahun 2018, HTC memberhentikan 22 peratus lagi tenaga kerja globalnya. Pada masa ini, HTC telah mengalihkan tumpuan sepenuhnya daripada telefon dan telah beralih kepada teknologi baru seperti realiti maya, rantaian blok, kecerdasan buatan, pembelajaran mesin, dan lain-lain.
Sekali lagi pada akhir tahun 2019, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif HTC telah diambil alih dari Cher Wang oleh Eve Maita. Menurut Eve Maita, beliau sangat optimis tentang masa depan HTC.
HTC Bangkit Semula
Walaupun sudah jatuh menjunam, HTC kembali bangkit dengan melancarkan Desire 21 Pro 5G pada Januari tahun lalu.
Terbaharu, dikhabarkan satu lagi telefon flagship dari HTC mungkin akan dilancarkan pada bulan hadapan. Adakah jenama HTC akan kembali bersinar seperti dulu? Sama-sama kita nantikan.
Kesimpulan
Akhir kalam, kejatuhan syarikat HTC dahulu membuktikan bahawa walaupun kita yakin dengan kualiti produk kita, pemasaran produk juga penting untuk mengekalkan nama dan prestasi supaya dapat bersaing dengan jenama lain.
Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Sumber: Digitaltrends, Tech in Asia
Baca juga: