HONOR Kini Memasuki Arena Komputer Riba Gaming Dengan Pengenalan HONOR Hunter V700

HONOR sememangnya sudah sedia menawarkan komputer riba Magicbook untuk pengguna mereka. Namun, untuk kategori gaming, mereka sebelum ini tiada penawaran seumpamanya.

Baru-baru ini, HONOR membuat sedikit kelainan dengan memperkenalkan HONOR Hunter V700 iaitu sebuah komputer riba memfokuskan kategori gaming.



Dari segi spesifikasi, ia hadir dengan 2 pilihan cip Intel i5-10300H dan i7-10750H manakala kad grafik pula sehingga RTX 2060. RAM pula tersedia sehingga 16GB manakala storan dari SSD NVMe 1TB.

Rekaan komputer riba riba ini turut diberikan keutamaan. Ia dibina dengan bahan binaan aluminium aloi dan mempunyai logo Hunter RGB yang menyala pada bahagian panel belakang.

RGB tidak terhenti setakat itu, bahagian bawah, papan kekunci, dan ekzos juga turut menyala yang boleh dikawal dan diubahsuai melalui perisian terbina.



Paparan pula adalah berukuran 16.1 inci dengan bezel keliling nipis 4.7mm. Sebagai sebuah komputer riba gaming, panel IPS 144Hz disertakan yang turut menyokong sRGB 100%.

Selain itu, Hunter V700 turut dimuatkan dengan sistem audio nahimic 3D yang memberikan pengalaman gaming lebih imersif.

Bateri hadir dengan kapasiti 56Wh yang agak biasa sahaja untuk sesebuah komputer riba gaming.

HONOR Hunter V700 hanya dijual di China sahaja buat masa ini dengan harga bermula 7499Yuan (~RM4,582). Melihatkan penawaran produk HONOR yang aktif di Malaysia, kemungkinan besar komputer riba ini akan hadir untuk pasaran tempatan.

Sumber: Vmall