Hari Wanita Antarabangsa: Ini Dia 4 Wanita Berpengaruh Dalam Bidang Teknologi

Hari ini merupakan Hari Wanita Antarabangsa, jadi jangan lupa ucapkannya pada wanita sejati di sekeliling anda. Dalam bidang teknologi, wanita juga meninggalkan kesan besar dalam membentuk dunia kita hari ini.

Dalam artikel ini, kami kongsikan wanita-wanita penting yang mana tanpa mereka, teknologi yang ada sekarang hari ini tidak secanggih sekarang ataupun lebih 'bosan'.

Suka untuk kami ingatkan bahawa senarai ini tidak dapat dimasukkan kesemua tokoh. Jadi, jangan segan silu untuk kongsikan figura yang anda kenal di ruangan komen media sosial Wiser.

Mengambil semangat kepelbagaian, ada yang tertumpu pada  pengaturcaraan, selebihnya pula permainan video dan grafik namun semuanya masih dalam bidang teknologi.

Kepada pembaca perempuan, kami ucapkan selamat hari wanita dan terima kasih kerana tercipta.

{snap}

Ada Lovelace




Jika anda mengikuti pengajian pengaturcaraan (programming), anda seharusnya kenal siapa gerangannya. Bahkan, apabila mahu menulis artikel ini, nama Ada menjadi pertama muncul di kepala saya.

Augusta Ada Byron, seorang warga England sohor sebagai pengaturcara pertama di dunia. Beliau terlibat dalam bidang matematik dan menulis algoritma pertama yang dicipta untuk mesin.

Dalam tulisan berkenaan Analytical Engine (komputer mekanikal/kalkulator yang cuba dibina Charles Babbage), beliau berkongsi dapatan bahawa mesin/komputer boleh mengikut arahan untuk melakukan kiraan yang rumit.

Charles Babbage dikenali sebagai bapa komputer dan Ada Lovelace pernah bekerja di bersamanya secara tidak rasmi untuk Analytical Engine.

Menerusinya, Ada menyimpulkan mesin boleh melakukan lebih daripada sekadar bermain dengan angka. Ada percaya mesin boleh mencipta muzik dan seni serta 'berfikir' seperti manusia.

Selain itu, beliau juga melihat mesin boleh mencipta dan menyimpan maklumat. Siapa sangka, beliau telah meramal masa depan dengan tepat sekali.

Walaupun Analytical Engine tidak menjadi realiti, namun hasil kerja Ada menjadi dasar penting untuk perkomputeran moden hari ini.

Bahkan, sebuah bahasa pengaturcaraan terawal dinamakan Ada sempena beliau. Untuk mengingati jasa beliau, hari Selasa kedua dalam Oktober disambut sebagai Hari Ada Lovelace.

Ada Lovelace meninggal pada usia 37 tahun iaitu dalam tahun 1852 akibat kanser.

Sumber: Brittanica

{snap}

Grace Hopper




Wanita dengan kewarganegaraan Amerika Syarikat terlibat dalam penciptaan UNIVAC iaitu komputer digital elektronik pertama di dunia dan Harvard Mark I.

Selain itu, dia juga mencipta program (compiler) yang menterjemah arahan dalam bahasa Inggeris pada kod yang boleh dibaca komputer, secara terus.

Selain istilah "compiler", beliau juga dikatakan telah mempopularkan perkataan "debugging".

Hasil kerja ini kemudian mempengaruhi beliau untuk bersama mencipta COBOL, salah satu bahasa pengaturcaraan terkenal.

Beliau menulis manual komputer pertama di dunia, iaitu untuk Mark I. Ia dinamakan A Manual of Operation for the Automatic Sequence Controlled Calculator pada 1946.

Untuk Mark I pula, hasil kerjanya dan pasukan membantu tentera laut AS mengira trajektori bom, roket dan senjata lain. Dia bagaimanapun tidak terlibat dalam perlawanan kombat di medan perang.

Antara ramalannya ialah komputer kelak mampu dikecilkan sehingga muat di atas meja dan orang yang bukan pengaturcara profesional turut mampu menggunakannya dalam kehidupan harian.

Ramalannya juga jadi kenyataan dan jika anda tidak tahu, komputer digital seawal kemunculan dulu mempunyai saiz yang sangat besar, ada yang mengambil ruang sehingga satu bilik.

Beliau juga pernah menyertai pasukan tentera laut AS semasa Perang Dunia Ke-2 dan mendapat PhD dalam bidang matematik daripada University of Yale.

Wanita ini sangat suka mengajar. Baginya, pencapaian terbesar beliau ialah dapat melatih generasi muda dan dia lebih berbangga dengan itu berbanding compiler pertama di dunia hasil ciptaannya.

Grace Hopper meninggal dunia pada 1992 di usia 85 tahun.

Sumber: National Women's History Museum

{snap}

Carol Shaw




Warga Amerika syarikat ini terkenal sebagai pereka permainan video wanita yang pertama di dunia. Dia memulakan kerjaya profesional di Atari pada lewat 1970an sebagai pengaturcara.

Antara permainan dihasilkan termasuklah Polo, 3-D Tic-Tac-Toe, Video Checkers dan Super Breakout.

Kemudian pada 1980, beliau berkhidmat di Tandem buat seketika sebelum ke Activision yang ketika itu baru ditubuhkan. Antara permainan popular yang dia terlibat sama ialah River Raid, Happy Trails.

River Raid menjadi salah satu kejayaan terbesar beliau permainan itu dijual sehingga 1 juta salinan yang waktu itu masih menggunakan katrij VCS.

Carol menerima anugerah Industry Icon Award daripada The Game Awards selain banyak lagi turut dirangkulnya.

Hanya beberapa tahun di sana, Carol selepas itu meninggalkan Activision dan kembali ke syarikat Tandem untuk menambah baik sistem komputer untuk tempahan tiket penerbangan.

Beliau kemudian mengambil keputusan untuk bersara awal iaitu pada tahun 1990 ketika berusia 35 tahun. Kesenangan katanya hasil daripada kejayaan River Raid dan pelaburan bersama suaminya.

Pada 2017, wanita ini menyumbang beberapa hasil kerjayanya pada The Strong Museum seperti nota, dokumen rekaan permainan, memo dan lain-lain yang digunakannya semasa di Atari.

Hari ini, Carol Shaw berusia 68 tahun dan dilaporkan tinggal di California bersama suaminya.

Sumber: Computing History

{snap}

Susan Kare




Wanita daripada Amerika Syarikat ini ialah seorang pereka grafik dan hasil kerjanya banyak ditinggalkan di Apple. Susan terkenal dengan elemen UI dan font pada Macintosh daripada 1983 ke 1986.

Dia juga pernah menjadi Pengarah Kreatif di NeXT apabila Steve Job meninggalkan Apple.

Namanya dikira sebagai antara manusia terpenting dalam bidang antara muka komputer grafik (GUI) dan seni piksel.

Antara tinggalannya di Apple ialah rekaan antaramuka, ikonografi, ikon Happy Mac, ikon tong sampah, simbol Command di Mac, font lalai Macintosh dan banyak lagi waktu itu.

Beliau jugalah bertanggungjawab mencipta typeface Chicago dan Geneva yang digunakan di Macintosh selain ikon asal dan grafik sistem itu. Chicago digunakan pada 4 generasi pertama iPod.

Dasarnya, Susan banyak menyumbang pada "bahasa visual" dalam pengkomputeran moden. Ellen Upton berkata bila Susan mereka untuk Apple, komputer mula berinteraksi dengan gambar, bukan lagi barisan kod.

Selepas meninggalkan Apple pada, beliau membuka firma sendiri yang menyaksikan Microsoft, Sony Pictures, Facebook, Pinterest, IBM dan lain-lain sebagai pelanggan.

Antara kerjanya yang terkenal juga ialah Solitaire pada Windows 3.0 pada 1990 dan ikon hadiah virtual di Facebook pada 2007.

Susan pernah mendapat anugerah oleh AIGA Medal pada tahun 2018 yang dilihat sebagai anugerah tertinggi dalam industri rekaan.

Kini pada usia 69 tahun, Susan bekerja di Niantic Labs sejak 2021.

Sumber: Smithsonian