Hampir Kesemua Penghasilan iPhone Di China Terpaksa Dihentikan

Terdahulu, syarikat yang menghasilkan iPhone, Foxconn, menyatakan wabak Koronavirus yang melanda China ketika ini tidak akan membantutkan pengeluaran peranti tersebut.

“Kami tidak mengulas mengenai amalan produksi khusus kami, tetapi kami dapat mengesahkan bahawa kami mempunyai langkah untuk memastikan kami dapat terus memenuhi semua kewajipan pembuatan global,” Foxconn memberi kenyataan sepertimana yang dilaporkan oleh Reuters.

Namun hampir seminggu kenyataan tersebut dibuat, perkhabaran terbaru menyatakan sebaliknya. Menurut Reuters, Foxconn terpaksa menghentikan hampir kesemua pengeluaran iPhone di negara itu. Hal ini berikutan dari arahan kerajaan China yang mahukan syarikat-syarikat menutup operasi sehingga 10 Februari. Sekiranya tarikh itu dilanjutkan lagi, ia bakal memberi impak kepada pengeluaran telefon pintar Apple tersebut.

Difahamkan, buat masa sekarang Foxconn telah mengagihkan beban pengeluaran kepada beberapa fasiliti lain yang berlokasi di Vietnam, India dan Mexico.

Wabak Koronavirus yang bermula di Wuhan China menggemparkan dunia dimana ia telah menular ke 24 buah negara termasuk Malaysia. Setakat jam 3 petang hari ini (4 Februari 2020), jumlah kematian akibat wabak Koronavirus telah mencecah angka 427 orang.

Sumber: Reuters