Foxconn Nyatakan Koronavirus Tidak Jejaskan Pengeluaran iPhone Di China

Memasuki bulan pertama 2020, kita telah digemparkan dengan kejadian penularan wabak Koronavirus yang bermula di Wuhan, China. Sehingga ke hari ini, sejumlah bandar telah ditutup yang menjejaskan puluhan juta rakyat disana.

Walaupun begitu, syarikat yang menghasilkan iPhone dan aksesorinya, Foxconn telah menyatakan pengeluaran peranti tersebut tidak akan terjejas. Syarikat berpangkalan di Taiwan itu mempunyai beberapa kilang yang beroperasi di China dan antaranya terletak di Wuhan. Selain daripada itu, Apple turut mempunyai pembekal yang berada di sana tetapi mempunyai alternatif yang lain.

"Kami tidak mengulas mengenai amalan produksi khusus kami, tetapi kami dapat mengesahkan bahawa kami mempunyai langkah untuk memastikan kami dapat terus memenuhi semua kewajipan pembuatan global," Foxconn memberi kenyataan sepertimana yang dilaporkan oleh Reuters.

Menurut laporan tersebut lagi, Foxconn akan menuruti arahan lanjutan cuti Tahun Baru Cina dan akan berbuat demikian selagimana ia disarankan. Walaupun perkara itu dilihat mungkin membantutkan penghasilan iPhone, Foxconn telah memberikan jaminan bahawa permintaan global akan dipenuhi.

Sumber: Reuters