Gunakan Laman Ini Untuk Jejak Kes Penyebaran Coronavirus Secara Global

Kerisauan mengenai isu Coronavirus semakin meningkat disebabkan kes virus tersebut yang mula menunjukkan kenaikan bilangan jangkitan dan kematian di seluruh dunia.

Dengan kewujudan media sosial seperti Facebook, Twitter dan juga platform permesejan seperti WhatsApp, maklumat palsu amat mudah tersebar lebih pantas dari virus itu sendiri. Ini boleh mewujudkan kerisauan palsu dan juga mengelirukan terutamanya ada antara kita yang sememangnya mahukan maklumat yang sahih dan tepat.

Untuk anda yang mahukan maklumat sahih pantas secara atas talian mengenai kes penyebaran Coronavirus ini, anda boleh pergi ke laman sesawang ini. Dihasilkan oleh Center for Systems Science and Engineering (CSSE) di Johns Hopkin yang berpengkalan di Maryland, data kes Coronavirus itu diperoleh dari beberapa badan rasmi seperti WHO dan juga pusat pencegahan penyakit di China, USA dan Eropah.

Kapsyen: Screenshot laman sesawang sehingga pada 29 Januari 10.54 pagi.


Dalam laman tersebut, ia memaparkan bilangan mangsa yang disahkan dan juga yang disyaki, bilangan kematian dan yang sudah pulih dari virus tersebut. Sudah semestinya jumlah sebenar tidak diketahui dan mustahil untuk diperoleh. Akan tetapi sekurang-kurangnya laman tersebut menawarkan data yang boleh diharap melalui kes yang sudah dilaporkan dan pengunjung juga boleh melihat trend serta lokasi panas Coronavirus berkenaan.

Melalui kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, setakat ini sudah terdapat 7 kes positif Coronavirus di Malaysia. Kesemuanya adalah merupakan warganegara China. Untuk maklumat sahih virus ini di Malaysia, anda hanya boleh rujuk KKM sahaja dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh mereka dari semasa ke semasa.

Jika anda terlibat dengan penyebaran maklumat palsu mengenai virus ini, anda boleh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Sumber: gisanddata, KKM

 

 

Berkaitan