Jika sebelum ini kita menyangka bahawa Nord merupakan nama model, sangkaan kita silap kerana Nord merupakan nama siri.
Sehubungan dengan itu, hari ini OnePlus telah menambah lagi dua model di bawah siri ini dinamakan OnePlus Nord N10 sebagai kelas pertengahan dan juga OnePlus Nord N100 untuk kelas permulaan.
OnePlus Nord N10
Pertama sekali kita tidak membincangkan mengapa OnePlus hadir dengan penamaan sedemikian yang lebih kepada kod nama berbanding nama rasmi.
OnePlus Nord N10 merupakan telefon 5G kelas pertengahan diposisikan di bawah OnePlus Nord sebelum ini.
Ia hadir dengan cip Snapdragon 690, 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Menariknya ia hadir dengan sokongan microSD yang juga merupakan telefon OnePlus pertama hadir dengan fungsi berkenaan.
Mengenai Snapdragon 690, Nord N10 merupakan telefon pertama yang menggunakan cip berkenaan.
Skrin pada Nord N10 adalah 6.49 inci Full HD+ dengan kadar segar semula 90Hz. Pada skrin juga terdapat lubang kamera menempatkan swafoto 16MP.
Salah satu perbezaan utama berbanding OnePlus Nord adalah Nord N10 mempunyai pengimbas cap jari di belakang berbanding skrin pada Nord sebelum ini.
Kamera pula terdapat 4 lensa dibarisi 64MP utama, 13MP sudut lebar, 2MP makro, dan 2MP monokrom.
Bateri pada Nord N10 adalah sebesar 4,300mAh dan menyokong pengecasan pantas Warp Charge 30T. Bicu audio 3.5mm juga turut disertakan.
Untuk harga pasaran OnePlus Nord N10 hanya dijual di Amerika Utara, UK, dan pasaran Eropah melalui harga €329 (~RM1,619).
OnePlus Nord N100
Daripada syarikat yang membunuh mercu akhirnya mengeluarkan sendiri telefon kelas permulaan. Nord N100 merupakan telefon paling mampu milik dalam sejarah OnePlus dengan spesifikasi boleh dikatakan sekadar ‘asas’.
Dari segi rekaan, ia masih menyerupai kedua-dua Nord dan juga Nord N100 namun ia bezel di bawah sedikit tebal sesuai dengan penawaran harganya.
Skrin Nord N100 adalah berukuran 6.52 inci dengan resolusi rendah HD+ sahaja.
Ia dijana cip Snapdragon 460 yang merupakan cip pilihan popular pengeluar untuk telefon kelas permulaan.
Bersama-sama dengannya terdapat RAM 4GB dan storan dalaman 64GB. Turut hadir adalah sokongan microSD dan bicu audio.
Nord N100 dilengkapi dengan 3 lensa kamera belakang 13MP utama, 2MP bokeh, dan 2MP makro. Swafoto pula adalah 13MP pada lubang kamera hadapan.
Kapasiti bateri adalah dari 5,000mAh dengan pengecasan pantas 18W. Nord N100 juga turut mempunyai pengimbas cap jari di belakang.
Dari segi harga jualan, Nord N100 dijual berharga €179 (~RM880). Buat masa ini, belum diketahui sama ada Malaysia akan menerima 2 model telefon ini atau tidak.