Google Dedahkan Mereka Tewas Kepada Microsoft Dalam Usaha Mengambil-Alih GitHub

Awal bulan lalu, syarikat Microsoft telah mengumumkan mereka telah berjaya mengambil-alih syarikat GitHub dengan bayaran sekitar $ 7.5 billion(~RM 30.3 billion) ketika itu. Github merupakan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan berasaskan web kepada pembangun perisian dan pengaturcara.

Berkenaan perkara berkenaan, Google baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka turut berminat untuk mengambil-alih syarikat berkenaan namun tewas dalam perebutan dengan Microsoft. Ia telah diperakui oleh Diane Greene, pegawai kanan Google kepada pihak Bloomberg.


Kredit : The Verge


Github dilaporkan telah memilih untuk mejual pegangan dalam syarikat mereka kepada Microsoft berdasarkan hubungan baik mereka dengan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella. Github mempunyai senarai pelanggan yang terkenal seperti Amazon, Facebook, Apple dan Google sendiri.

Google sebelum ini telah menolak untuk memberi sebarang komen ketika ditanya sama ada mereka akan terus menggunakan perkhidmatan Github atau tidak. Dalam laporan berasingan, Facebook telah menyatakan kesediaan mereka untuk terus menggunakan servis yang ditawarkan oleh Github.

Sumber