realme X3 Pula Diperkenalkan - Beza Hanya Kamera Berbanding Dengan X3 Superzoom

Siri X terbaru dari realme mula menjengah pasaran Malaysia sejak penghujung Mei yang lalu melalui model realme X3 Superzoom. Kini dalam keluarga yang sama, model berikutnya telah pun diumumkan iaitu realme X3. Bukan di Malaysia tetapi di India.

Sekali imbas, luaran dan dalaman kelihatan sama sahaja seperti versi Superzoom tetapi dibezakan dengan spesifikasi sedikit rendah pada bahagian kamera. Paling ketara sekali adalah lensa periskop yang mana ia digantikan dengan kamera telefoto 12MP. Lain-lain kamera adalah 64MP lensa utama, 8MP ultra lebar dan 2MP makro.



Rakaman hadapan untuk model ini tampil dengan kombinasi kamera 16MP serta 8MP sudut lebar. Ia dimuatkan pada skrin berlubang yang terletak pada bucu kiri paparan.



Model ini masih mengekalkan cip pemproses yang sama seperti Superzoom iaitu Snapdragon 855+ serta skrin IPS LCD 6.6 inci dengan kadar segar semula 120Hz.

Konfigurasi memori pula hadir dengan pilihan antara RAM 6GB/128GB serta RAm 8GB/128GB storan UFS 3.0. Ditawarkan dengan dua warna iaitu biru serta putih, realme X3 akan mengoperasikan sistem realme UI berasaskan Android 10.



Janaan kuasa peranti pula diperoleh dari bateri 4200mAh dengan pengecasan Dart Charge 30W. Harga jualan untuk pasaran India bermula dari INR 24,999 (~RM1416) sehingga INR 25,999 (~RM1472). Sebagai rujukan realme X3 Superzoom di Malaysia dijual pada harga bermula RM1999 dan sekiranya masuk ke Malaysia, realme X3 mungkin berada pada paras RM1700. Namun begitu, masih belum ada perkhabaran tentang penawaran realme X3 untuk dalam negara ketika ini.

Beli realme X3 Superzoom di:

Lazada: https://invol.co/clobjz