Galaxy S21: Mampukah Cip Exynos 2100 Kembalikan Semula Reputasi Cemerlang Telefon Premium Samsung?

Apabila bercerita tentang telefon mercu Samsung, sudah tentu pengguna akan membayangkan sebuah produk yang kaya dengan ciri dan fungsi, binaan premium, teknologi skrin terbaik dalam industri dan sebagainya.

Namun, sejak beberapa tahun ini, model seperti siri Galaxy S20 dan Galaxy Note 20, walaupun merupakan produk terbaik yang Samsung pernah tawarkan, namun dibebankan dengan cip pemprosesan yang kurang kompetitif.

Untuk pasaran tempatan, umum mengetahui Samsung Malaysia membawa masuk telefon dengan cip Exynos berbanding cip Snapdragon seperti pasaran Amerika Syarikat.

Jadi, cip Exynos 990 pada siri Galaxy S20 dan siri Galaxy Note 20 dibelenggu pelbagai masalah seperti isu kepanasan, ketahanan bateri kurang baik, dan prestasi tidak sebagus pada Snapdragon 865.

Kapsyen: Samsung Galaxy Note 20 Ultra


Ia membawa kepada kesan ramai yang berfikir banyak kali jika mahukan model Galaxy S20 dan juga Galaxy Note 20.

Sebelum Galaxy S21 dilancarkan, Samsung meyakinkan pelbagai pengguna melalui acara pelancaran bahawa cip Exynos 2100 terkini mereka lebih cekap tenaga, jauh lebih pantas, berbanding Exynos 990 tahun sebelum ini.

Kapsyen: Samsung Galaxy S21 Ultra


Jika anda ingat lagi, Samsung sebelum-sebelum ini menggunakan teras custom Mongoose pada cip Exynos, pada Exynos 2100 Samsung tiada teras ini sebaliknya menggunakan teras terus dari ARM.

Ini mungkin sebab utama mengapa cip Exynos 990 kurang kompetitif disebabkan teras Mongoose yang direka kurang bagus. Jadi bermula dengan Exynos 2100, teras terus dari ARM iaitu Cortex-X1 dan Cortex-A78 digunakan. Teras ini juga adalah merupakan teras yang sama digunakan dalam Snapdragon 888 dari Qualcomm.

Sebagai perbandingan, ia merupakan rekaan sama seperti cip Kirin 9000 pada Mate 40 Huawei yang menggunakan rekaan teras terus dari ARM. Manakala Snapdragon 888 pula adalah direka dari rekaan teras custom Kryo tersendiri.

Kita mungkin boleh menjangkakan kurang masalah atau yang sebaiknya lebih hebat dari Snapdragon 888 berikutan tiada lagi teras Mongoose.

Tambahan, atas kertas, cip Exynos 2100 mempunyai kelajuan CPU lebih berkuasa pada sehingga 2.9GHz untuk kesemua teras iaitu Cortex-X1, Cortex-A78, dan Cortex-A55 berbanding Snapdragon 888 sehingga 2.84GHz.

Kapsyen: Exynos 2100


Selain itu, disebabkan Samsung yang mereka sendiri cip ini khas untuk telefon mercu Galaxy S21 mereka, sudah tentu mereka lebih mengetahui bahagian yang memerlukan pengoptimasian lebih sempurna.

Apa-apa pun, cip Exynos 2100 dilihat lebih meyakinkan untuk digunakan pada Samsung Galaxy S21 dengan janji dari Samsung bahawa ia lebih cekap tenaga dan prestasi lebih berkuasa.

Kita terpaksa akur dengan penerimaan cip Exynos untuk pasaran tempatan.

Namun dengan cip Exynos 2100 yang terbaharu ini, diharapkan ia dapat merubah semula tanggapan dan reputasi cemerlang telefon premium Samsung seperti era zaman seperti Samsung S9 ataupun S10 sebelum ini.