Ini Adalah Spesifikasi Penuh Cip Snapdragon 888 - Modem 5G Terbina, CPU 25% Lebih Berkuasa, Grafik 35% Lebih Pantas

Semalam pada acara Snapdragon Tech Summit, Qualcomm telah mengumumkan Snapdragon 888 yang akan menjadi jantung kepada telefon pintar mercu tahun 2021.

Menerusi hari kedua acara tersebut, hari ini Qualcomm telah menjelaskan spesifikasi dan teknologi yang dimuatkan pada cip terbaharu mereka ini.

CPU


Snapdragon 888 didatangkan dengan 4 teras Kryo 680 (1 x 2.84GHz + 3 x 2.4GHz + 4 x 1.8GHz). Teras utama adalah merupakan ARM Cortex-X1 untuk prestasi lebih berkuasa berbanding Snapdragon 865+.



Secara keseluruhan, Snapdragon 888 menawarkan prestasi 25% lebih pantas dan juga 25% lebih jimat tenaga berbanding Snapdragon 865+.

GPU


Bahagian pemprosesan grafik adalah diuruskan oleh Adreno 660, yang memberikan kelajuan grafik 35% lebih pantas berbanding sebelumnya.

Kamera


Terdapat banyak aspek peningkatan kamera yang telah dimuatkan pada Snapdragon 888 melalui pemprosesan ISP Spectra 580 baharu.



 

Yang pertama ia boleh memproses sebanyak 3 kamera 4K HDR atau 3 kamera 28MP secara serentak. Peralihan antara satu kamera ke yang lain juga akan lebih lancar disebabkan pemprosesan serentak ini.

Qualcomm menyatakan bahawa Snapdragon 888 mampu memproses data sebanyak 2.7gigapixel berbanding Snapdragon 865+ pada 2gigapixel sahaja.

Kemampuan mengambil gambar juga lebih dipertingkatkan. Kini gambar boleh diambil walaupun hanya mempunyai cahaya 0.1 lux sahaja.

Selain itu, ia juga boleh mengambil gambar 10-bit pada format HEIF dan melalui Snapdragon 888 juga, Qualcomm telah memperkenalkan autofokus berasaskan AI.

Rangkaian


Jika Snapdragon 865+ hadir dengan modem 5G luaran, Snapdragon 888 pula mempunyai modem yang terbina dengan Snapdragon X60.

Snapdragon X60 membolehkan muat turun 5G sepantas 7.5Gbps dan juga sokongan 5G yang lebih meluas melalui pelbagai spektrum di seluruh dunia.

Qualcomm FastConnect 6900 yang dimuatkan turut menawarkan kelajuan Wi-Fi sepantas 3.6Gbps serta kehadiran protokol Wi-Fi 6E baharu yang berasaskan 6GHz.

Antara peningkatan aspek rangkaian lain adalah Bluetooth 5.2, dwi-antenna Bluetooth, dan juga Qualcomm aptX.

AI


Bersama-sama modul Hexagon 780, enjin menjana kecerdasan buatan menjadi lebih maju. Kini, ia menawarkan sehingga 3 kali ganda prestasi setiap Watt dan juga mencecah sehingga 26 TOPS.


Kepermainan


Qualcomm sedia menawarkan Snapdragon Elite Gaming sebagai modul gaming dalam cip mereka. Melalui Snapdragon 888, buat pertama kalinya Qualcomm memperkenalkan Variable Rate Shading (VRS) yang meningkatkan janaan imej sehingga 30% pada masa yang sama menjimatkan tenaga.



 

Game Quick Touch turut membantu meningkatkan tahap responsif permainan sehingga 20% dan mengurangkan lengah ketika bermain permainan.

Snapdragon 888 akan mula menemui pengguna seawal tahun hadapan. Buat masa ini 14 jenama telah mengesahkan telefon mereka dengan cip ini termasuk ASUS, realme, OPPO, OnePlus, Xiaomi, dan lain-lain.

Sumber: 1 | 2 | 3