FUJIFILM baru sahaja melancarkan model kamera digital terbarunya, X-M5, yang menonjol sebagai model paling ringan dalam siri X. Dengan berat hanya 355g, kamera ini sangat kompak dan mudah dibawa, menjadikannya pilihan terbaik untuk sesi penggambaran harian.
Kamera ini hadir dengan teknologi canggih, antaranya ialah sensor X-TransTM CMOS 4 dengan resolusi 26.1 megapiksel dan enjin pemprosesan imej X-Processor 5, membolehkan imej pegun dan video berkualiti tinggi dihasilkan. Ciri menarik seperti mod ‘Simulasi Filem’ yang terletak pada permukaan atas kamera menawarkan pilihan ekspresi tona warna berbeza bagi memenuhi keperluan fotografi kreatif.
Untuk videografi, X-M5 mampu merakam video dalam format 6.2K/30P 4:2:2 10-bit ke dalam kad SD. Mod Vlog dan fungsi rakaman video 9:16 juga diperkenalkan untuk memudahkan penghasilan kandungan sosial media. Tambahan mikrofon terbina tiga arah memberikan fleksibiliti tinggi dalam rakaman audio, sementara penstabil imej digital yang kuat memastikan kualiti video kekal jelas walaupun semasa bergerak.
Bagi pengguna yang ingin lebih fleksibiliti, FUJIFILM turut menawarkan aksesori seperti Kipas Penyejuk FAN-001 dan Tripod Grip TG-BT1, yang meningkatkan kestabilan serta keselesaan semasa penggambaran.
Selain itu, FUJINON XF16-55mmF2.8 R LM WR II turut dibawa masuk ke pasaran tempatan, menggantikan model terdahulu dengan pengurangan berat sebanyak 37%, memberikan lebih mobiliti tanpa mengorbankan kualiti imej. Lensa baharu ini mengekalkan apertur F2.8 sepanjang julat zum penuh, dari sudut lebar 16mm hingga telefoto pertengahan 55mm, menjadikannya sesuai untuk fotografi landskap, potret, dan alam semula jadi.
Lensa ini turut dilengkapi dengan 16 elemen dalam 11 kumpulan, termasuk 4 kanta asfera dan 3 kanta ED, yang menyumbang kepada imej berkualiti tinggi serta bokeh yang lembut dan indah.
Dengan berat hanya sekitar 410g, lensa ini direka untuk mobiliti dan dilengkapi ketahanan cuaca, menjadikannya tahan lasak dalam keadaan yang mencabar. Penggunaan motor linear berkelajuan tinggi juga memastikan autofokus senyap dan pantas, mencapai kelajuan hanya 0.02 saat, membolehkan pengguna menangkap momen penting dengan mudah.
Dalam pelancaran ini, ia turut melancarkan lensa FUJINON XF500mmF5.6 R LM OIS WR, satu lensa prima super-telefoto. Diperkenalkan dalam siri lensa XF, lensa ini membawa kualiti imej luar biasa dan reka bentuk kompak yang sangat sesuai untuk fotografi burung, haiwan liar, dan pesawat.
Lensa XF500mmF5.6 R LM OIS WR menawarkan panjang fokus mengagumkan 500mm (setara dengan 762mm dalam format 35mm) dan apertur F5.6, memberikan pembesaran imej yang sangat tinggi. Dengan faktor pemangkasan 1.5x pada format APS-C, lensa ini memberikan pembesaran yang luar biasa, menjadikannya pilihan utama bagi mereka yang memerlukan lensa super-telefoto ringan dan mudah dibawa.
Walaupun pada panjang fokus yang sangat panjang, lensa ini hanya seberat 1,335g dan direka dengan 21 elemen lensa dalam 14 kumpulan, termasuk dua lensa Super ED dan lima lensa ED untuk mengurangkan aberasi kromatik. Ciri-ciri penstabilan imej optik 5.5-stop yang kuat memastikan gambar yang lebih tajam dan stabil, walaupun semasa penggambaran tangan.
Lensa ini juga dilengkapi dengan motor autofokus berkelajuan tinggi dan sistem fokus dalaman yang membolehkan fokus pantas dan senyap, hanya dalam 0.33 saat. Fungsi Preset Fokus dan Penyekat Fokus juga ditawarkan untuk meningkatkan kecekapan dan ketepatan dalam penggambaran.
Badan X-M5 sahaja ditawarkan pada harga RM3,948 namun untuk badan berserta lensa 45mm kit ditawarkan pada harga RM4,398. Lensa FUJINON XF500mmF5.6 pula dijual pada hargaRM14,998 manakala lensa XF16-55mmF2.8 R LM WR II masih belum diberitahu.
Untuk maklumat lanjut mengenai pekakas FUJIFILM, Sila layari laman web rasmi FUJIFILM Malaysia.
{suggest}
Sumber: Siaran media Fijifilm