Nvidia dilaporkan telah menghentikan pengeluaran hampir semua GPU dalam siri RTX 40, kecuali RTX 4050 dan 4060 yang kekal dalam pengeluaran sementara. Langkah ini menunjukkan persediaan Nvidia untuk memperkenalkan siri RTX 50 dalam tempoh terdekat, dengan jangkaan pelancaran model premium RTX 5090 dan 5080 seawal Januari 2025, kemungkinan besar di CES Las Vegas.
Menurut sumber dari Board Channels melalui Videocardz, Nvidia telah menutup sepenuhnya pengeluaran cip AD106 dan mengalihkan kapasiti untuk pengeluaran siri RTX 50. Hanya satu barisan AD107, yang digunakan dalam model RTX 4060 dan 4050, masih diteruskan buat masa ini, menjadikan suku terakhir 2024 sebagai fasa “pembersihan” untuk stok RTX 40 di pasaran.
Nvidia biasanya melancarkan model GPU premium terlebih dahulu diikuti varian yang lebih mampu milik selepas beberapa bulan. Namun, jadual pengeluaran yang dimampatkan kali ini bermakna model-model seperti RTX 5060 dan 5070 mungkin hadir lebih awal berbanding siri sebelumnya.
Jadi, gamers yang mencari GPU lebih berpatutan dijangka tidak perlu menunggu sehingga separuh kedua 2025 untuk mendapatkan siri RTX 50 pada harga lebih rendah.
{suggest}
Sumber: PCGamer