Friendster Pernah Tolak Tawaran Google Untuk Dibeli Pada Nilai USD30 Juta

Friendster merupakan pelopor rangkaian sosial yang telah diasaskan oleh Jonathan Abrams dan dilancarkan pada Mac 2003, iaitu sebelum wujudnya Facebook serta rangkaian sosial media yang lain.

Abrams menerusi satu podcast menjelaskan bagaimana beliau mendapat idea untuk membangunkan Friendster dengan memikirkan cara berbeza untuk menggunakan internet, di mana seseorang boleh menggunakan nama, gambar serta identiti sosial kehidupan sebenar yang dapat dilihat melalui dalam talian.

Setelah menghasilkan prototaip, beliau cuba untuk menjualnya kepada rakan-rakan, namun tiada yang berminat. Malah, ia dikatakan "dumbest idea" yang pernah beliau ada. Selepas setahun, usahanya dilihat telah berhasil dan Friendster berkembang dengan jutaan pengguna.

Mungkin juga ramai yang tidak tahu, hanya selepas setahun dilancarkan, Google pernah membuat penawaran untuk membeli Friendster pada nilai USD30 juta iaitu kira-kira RM121 juta. Pada hari ini, ia dianggarkan bernilai lebih dari satu bilion USD. Bagaimanapun, tawaran tersebut telah ditolak oleh Abrams.

Keputusan itu bukanlah sesuatu pilihan yang tepat dan dikatakan sebuah kesilapan terbesar. Tahun 2011, Friendster telah diambil alih dan ditukar menjadi platform gaming. Akan tetapi, usaha tersebut tidak membuahkan hasil dan akhirnya platform itu ditutup sepenuhnya pada 2015.

Sebelum ditukar menjadi platform gaming, Friendster pada tahun 2010 telah menjual paten kepada Mark Zuckerberg, pengasas Facebook dengan nilai USD40 juta.

Sehingga kini, Friendster menjadi salah satu kisah peringatan bagi syarikat pemula (start up). Di sisi yang lain, Facebook masih kekal menjadi platform sosial media popular, ditambah pula dengan pemilikan WhatsApp dan Instagram.

Sumber: Netimperative

Berkaitan