MATRADE membawa misi menonjolkan firma permainan video Malaysia ke syarikat utama Jepun.

Dalam usaha memperkenalkan syarikat-syarikat pembangun permainana video Malaysia ke peringkat antarabangsa, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengetuai Misi Peningkatan Eksport (EAM) produk dan perkhidmatan berkaitan permainan video ke Jepun sempena Ekspo Permainan Video Tokyo (TGS) 2019.

TGS, yang akan berlangsung di Makuhari Messe, Chiba, Jepun, akan menjadi platform berkesan untuk menonjolkan jenama Malaysia sebagai antara pengeskport utama produk dan perkhidmatan berkaitan permainan video kepada syarikat utama Jepun.

Dijangkakan lebih daripada 12 syarikat Malaysia akan mempamerkan keupayaan mereka dalam bidang teknologi imej janaan komputer (CGI), pemodelan permainan video 3D, pembangunan permainan video dan harta intelek (IP) dalam animasi kepada penggiat hiburan digital utama di sana nanti.

Antara syarikat tersebut yang akan mengambil bahagian ialah Blimp Media, Camou Studio, Fuluso, Gamelobb, Illusionist Production dan Lemon Sky Animation.

IKLAN
Poster rasmi TGS 2019.

“Kehadiran kita di sana (TGS) pasti akan melonjakkan jenama Malaysia sebagai hab terkemuka untuk kandungan digital di rantau ini,” kata  Jamaliah Jamaluddin dalam kenyataan hari ini.

Menurut Pengarah Seksyen Elektrik dan Elektronik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Jentera dan Peralatan MATRADE, Jamaliah Jamaluddin berkata, EAM bertujuan meningkatkan promosi syarikat Malaysia kepada pembeli dan rakan kongsi bernilai tinggi dari Jepun, Korea, Taiwan dan bahagian rantau Asia Pasifik lain.

IKLAN

Sebelum ini pada tahun 2018 lalu, penyertaan syarikat Malaysia dalam acara itu telah berjaya mencatatkan nilai eksport berpotensi berjumlah RM155.1 juta.

Tambaha beliau lagi, negara Jepun yang terkenal sebagai peneraju dunia dalam industri permainan video, mampu menjadikan Asia Tenggara sebagai penyedia utama perkhidmatan permainan video dari sumber luar bagi kebanyakkan syarikat Jepun. Ini kerana kos tenaga kerja dan bakat kreatif di sana adalah amat tinggi.

Ini sekaligus memberikan peluang yang amat luas kepada firma-firma permainan video Malaysia memandangkan Malaysia dikenali sebagai negara yang memiliki jurutera permainan video berkemahiran tinggi dan keupayaan cemerlang dalam bidang seperti IP.

Pada tahun lepas sahaja industri ini telah mencatatkan nilai eksport lebih daripada  RM687 juta.

TGS 2019 menampilkan lebih 668 pempamer dan dijangka menerima hampir 300,000 pengunjung.

Selama ini TGS telah menjadi platform penyumberan utama bagi syarikat hiburan digital utama Jepun seperti Square Enix, Konami dan Bandai-Namco.

MATRADE berkata misi EAM ke Jepun akan bermula dari 10 hingga 15 Sept 2019.

Sumber: BERNAMA