EMUI 9.0 - Kenali Fungsi Menarik Yang Ada Pada Antaramuka Baru Kali Ini

Antaramuka boleh dianggap sebagai identiti jenama sesebuah peranti itu. Walaupun Google telah melancarkan sistem Android asli beberapa bulan lalu, kebanyakan pengeluar masih lagi belum bersedia untuk menggunakan sistem yang bergelar Android One itu secara menyeluruh.

Bagi Huawei, mereka dikenali dengan sistem antaramuka EMUI yang turut digunakan pada peranti keluaran Honor. Seiring dengan pelancaran Android 9 Pie baru-baru ini, Huawei telah mengumumkan mereka akan memperkenalkan EMUI 9.0 tidak lama lagi.

Antaramuka EMUI 9.0


Diumumkan pada acara IFA 2018 yang berlangsung awal minggu ini, Presiden Kejuruteraan Perisian Huawei, Wang Chenglu menjanjikan EMUI 9.0 ini akan membawa keseronokan, kestabilan dan pembaharuan kepada pengguna.

Jadi, apa perbezaan EMUI kali ini dengan versi sebelumnya serta antaramuka lain yang ada diluar sana? Jom, kami kenalkan anda semua dengan fungsi-fungsi menarik yang ada pada EMUI 9 ini.

GPU Turbo 2.0

Kebanyakan pengguna Huawei pastinya telah mengetahui berkenaan GPU Turbo ini. Teknologi yang mengintergrasikan perisian dan peralatan peranti bagi memberikan 60% lebih prestasi dan 30% lebih penjimatan tenaga bateri.



Bagi edisi kedua kali ini, Huawei menyatakan ia akan menyokong lebih banyak permainan video selain meningkatkan prestasi peranti ke tahap yang lebih baik. Bukan sahaja ketika bermain permainan video, malah aktiviti lain yang dijalankan kini turut menerima impak positif daripada GPU Turbo 2.0 kali ini.

HiVison

Ini merupakan antara pembaharuan terbesar yang dibawa Huawei pada antaramuka kali ini. HiVision akan membolehkan aplikasi kamera untuk mengesan bangunan mercu tanda dan lukisan terkenal.



Seterusnya, ia akan memberikan maklumat dan informasi mengenai keduanya kepada pengguna. Bagaimanapun, kami jangkakan fungsi ini hanya akan dapat dilaksanakan dengan adanya sambungan internet.

Imbasan Cap Jari & Pengesan Wajah Pada Aplikasi

Malas untuk mendaftar masuk ke dalam aplikasi media sosial pada peranti anda? Kini masalah anda selesai dengan EMUI 9.0. Anda kini boleh mendaftar masuk dengan hanya menggunakan imbasan cap jari atau pengesanan wajah sahaja tanpa perlu menaip.



Anda hanya perlu memasukkan email atau ID daftar masuk sahaja, dan kata laluan akan dimasukkan secara automatik melalui imbasan jari atau pengesan wajah. Huawei menjanjikan kata laluan anda akan disimpan dan dilindungi dengan selamat.

Digital Balance

Sehubungan dengan fungsi digital wellbeing yang diperkenalkan pada Android Pie, Huawei memperkenalkan satu papan pemuka tersendiri bagi fungsi tersebut, Digital Balance.



Fungsi ini akan membolehkan pengguna mengehadkan penggunaan pada sesebuah aplikasi serta fungsi Wind Down yang akan membantu pengguna untuk bertenang atau relaks sebelum masuk tidur.

Setakat ini, itu sahaja fungsi baru bagi antaramuka ini yang kami berjaya perolehi. Beta bagi EMUI 9.0 kini tersedia untuk empat peranti Huawei(P20, P20 Pro,Mate 10,Mate 10 Pro) serta tiga peranti Honor(Honor 10, Honor Play, Honor View 10).

Antaramuka ini akan dilancarkan secara rasmi bersama dengan peranti kelas perdana baru Huawei iaitu Mate 20 yang dijadualkan pada 16 Oktober ini di London.

 

Kredit Gambar : Android Authority

Sumber 1   Sumber 2

Berkaitan