Elon Musk Percaya Manusia Akan Jejak Planet Marikh Tak Lama Lagi

Pada hari Rabu lepas, Elon Musk mendedahkan di Twitter bahawa dia kini melihat tahun 2029 sebagai tarikh terawal manusia akan pertama kali menjejaki planet Marikh.

Terdahulu, pada tahun 2016, pengasas SpaceX itu mendedahkan impian besarnya untuk menubuhkan sebuah bandar di planet Marikh.

Pada waktu itu, Elon Musk berharap untuk melihat misi kru ke planet jiran kita berlaku seawal tahun 2024.

Sejak itu, syarikat SpaceX telah membuat banyak kemajuan dalam membina roket Marikhnya, tetapi masih tidak cukup pantas untuk memenuhi garis masa yang dirancang itu.

https://twitter.com/elonmusk/status/1504173360456077313?s=21

Menurut ciapan Elon Musk, tahun 2029 menjadikannya 60 tahun sejak penjejakan pertama manusia ke bulan pada tahun 1969.

Starship, yang SpaceX sedang membangunkan untuk membawa angkasawan ke bulan untuk NASA dan akhirnya ke Marikh, telah membuat beberapa penerbangan altitud tinggi yang berjaya, tetapi masih belum sampai ke angkasa lepas setakat ini.

Musk sebenarnya telah menyuarakan hal ini sejak dua tahun lalu berkaitan peraturan pelancaran persekutuan yang memperlahankan proses untuk menjejaki Marikh.

Malah, baru-baru ini dia telah menyatakan kerisauan bahawa SpaceX boleh muflis jika tidak dapat menghasilkan enjin raptor Starship dengan lebih pantas.

Tentunya, rancangan beliau untuk ke Marikh memerlukan perancangan yang teliti.

Apabila Marikh dan Bumi bergerak mengelilingi matahari, kedua-dua planet bergerak lebih dekat antara satu sama lain dan kemudian boleh lebih jauh lagi.

Untuk memanfaatkan masa perjalanan antara dua planet yang paling singkat memerlukan pelancaran mengikut waktu tertentu.

Tahun ideal untuk jejak Marikh


Musk percaya waktu pelancaran ke Marikh yang ideal dalam dekad ini adalah pada akhir tahun ini, akhir tahun 2024, akhir tahun 2026 dan akhir tahun 2028/awal tahun 2029.

Ia kelihatan seolah-olah angan-angan awal Musk mungkin terlalu tinggi dan berbunyi terlalu optimistik.

Jika tarikh sasarannya lebih jauh ke hadapan, mungkin ke tahun 2030-an, ia akan menjadi lebih menarik apabila NASA sudahpun menyasarkan untuk menghantar angkasawan pertama ke Marikh.

Walaupun industri pelancongan angkasa lepas telah mula berkembang sejak tahun lepas, agak mustahil sebenarnya untuk kita melihat ekspedisi komersial ke planet Marikh dalam masa terdekat.

Sumber: Insider

Baca juga: