DNB Pertikai Laporan Reuters, Perbincangan 5G Masih Lagi Berjalan

Semalam, terdapat laporan daripada Reuters yang mengatakan syarikat telekomunikasi mungkin akan berbelanja lebih berbanding jika mereka membangunkan infrastruktur 5G sendiri. Selain itu, berkemungkinan kos data 5G yang ditawarkan oleh DNB juga adalah tinggi daripada yang dijanjikan.

Bagaimanapun, Digital Nasional Berhad (DNB) kini tampil mempertikaikan dakwaan tersebut. Mereka menjelaskan bahawa perbincangan mengenai pelancaran 5G dengan syarikat telekomunikasi masih lagi sedang berjalan dan tiada penyertaan setakat ini kerana Tawaran Akses Rujukan atau reference access offer (RAO) belum lagi diterbitkan.

Menurut DNB, RAO dijangka bakal dimuktamadkan menjelang akhir November ini selepas mendapat kelulusan daripada MCMC.

Tambahan lagi, DNB turut menepis dakwaan berkaitan kos 5G yang tinggi kepada syarikat telekomunikasi. Katanya, syarikat telekomunikasi telah dimaklumkan kos GB 5G lebih rendah berbanding kos untuk membangunkan rangkaian sendiri.

Tegas DNB lagi, penambahan atau kos marginal bagi setiap GB 4G syarikat telekomunikasi ketika ini adalah sekurang-kurangnya RM0.50 sen.

Bukan itu sahaja, DNB juga mengatakan perjanjian antara mereka tidak akan menjejaskan harga pasaran saham walaupun berkongsi satu infrastruktur yang sama.

Sumber: bernama

Baca juga: