Ini Sebab Pihak Telekomunisasi Tidak Setuju Dengan Rangkaian 5G Seliaan DNB

Digital Nasional Berhad (DNB) ialah sebuah syarikat di bawah penyeliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). DNB memegang kesemua hak spektrum 5G di samping membangun dan menyelia keseluruhan rangkaian dengan pihak telekomunisasi membayar mereka untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

Walaupun rangkaian 5G telah dilancarkan semalam di tiga lokasi tetapi DNB mengesahkan, masih tiada pihak telekomunisasi bersetuju untuk menggunakan rangkaian 5G seliaan mereka. Walaupun ia sepatutnya sudah selesai sebelum hujung tahun ini, namun hal ini terjadi disebabkan pendirian DNB mengenai ketelusan dan harga yang ditetapkan mereka.

Mengikut perancangan awal, sebanyak 500 lokasi di seluruh negara akan mempunyai capaian 5G pada penghujung tahun ini.

Antara kebimbangan pihak telekomunisasi ialah kebarangkalian wujud isu monopoli yang akan menjejaskan perniagaan dan mengehadkan akses mereka terhadap teknologi akan datang.

Mereka juga berkata syarikat telekomunisasi mungkin akan berbelanja lebih berbanding jika mereka membangunkan infrastruktur 5G sendiri kerana pelan kerajaan ini tidak mengambil kira faktor lain seperti kos luar jangka.

Reuters menyemak dokumen yang berkaitan dan mendapati pihak telekomunisasi telah meminta DNB untuk melakukan "semakan meluas" berkenaan harga yang dicadang kerana kosnya dilihat tidak seperti dijanjikan.

Syarikat telekomunisasi juga telah mendapatkan jaminan daripada DNB bahawa ia akan kekal sebagai pembekal borong dan tidak akan menyalah guna kuasa pada masa akan datang seperti menyimpan dan menjual perkhidmatan mereka secara runcit.

DNB walau bagaimanapun akan berusaha mencapai perjanjian jangka panjang dengan syarikat telekomunisasi seawal tahun hadapan. Sama-sama kita nantikan perkembangan seterusnya berkaitan masa depan 5G di Malaysia.

Sumber: Reuters

Baca juga: