Disebabkan Serangan Siber, Toyota Tutup Kilang Di Jepun Hari Ini

Toyota melaporkan bahawa syarikat tersebut menangguhkan semua operasi kilang domestik pada hari ini, 1 Mac. Hal ini menyebabkan kerugian kira-kira 13,000 kereta selepas sebuah syarikat yang membekalkan bahagian plastik dan komponen elektronik kepada pengeluar kereta tersohor itu disyaki terkena serangan siber.

Namun, belum ada maklumat tentang siapa di sebalik atau motif serangan tersebut.

Dipercayai serangan itu berlaku sejurus selepas Jepun menyertai kuasa Barat dalam membangkang Rusia di atas pencerobohannya ke atas Ukraine, walaupun masih tidak dipastikan sama ada serangan siber ini saling berkait.

Jurucakap di Kojima Industries berkata ia kelihatan seperti satu serangan siber. Manakala jurucakap Toyota pula menyifatkan hal ini sebagai "kegagalan sistem pembekal."

Pengeluaran Toyota Kapsyen: Barisan pemasangan di kilang Takaoka Toyota. Sumber: Toyota


Insiden ini boleh menjejaskan usaha Toyota untuk kembali ke operasi pengeluaran penuh berikutan penutupan kilang pada Januari dan Februari disebabkan kekurangan cip dan gangguan berkaitan Covid.

Toyota, yang secara relatifnya kekal bertahan dalam menghadapi kekurangan bekalan, telah cuba meningkatkan pengeluaran di samping memenuhi permintaan kereta yang meningkat secara global.

Pengeluaran Toyota pada bulan Januari jatuh 15 peratus daripada tahun sebelumnya, selepas syarikat tersebut terpaksa menghentikan pengeluaran di bandar Tianjin di China apabila kerajaan menjalankan ujian saringan besar-besaran ke atas penduduk di situ.

Awal bulan Februari, beberapa operasi Toyota di Amerika Utara pula terjejas kerana gerakan protes yang menutup beberapa laluan perdagangan utama antara Amerika Syarikat dan Kanada.

Gangguan dalam dua bulan pertama tahun ini mendorong Toyota mengurangkan sasaran pengeluarannya untuk tahun fiskal hingga bulan Mac kepada 8.5 juta kenderaan berbanding sasaran sebelumnya sebanyak 9 juta.

Syarikat pengeluar kereta itu mengendalikan 28 barisan pemasangan di 14 kilang di Jepun.

Toyota juga memutuskan untuk menyambung semula semua operasi mulai Rabu, 2 Mac.

Sumber: nikkei

Baca juga: