Selain COVID-19, dunia kini semua beralih ke arah krisis Rusia-Ukraine yang mana Ukraine telah mula menerima serangan daripada pihak Rusia.
Ramai yang prihatin terhadap isu ini. Baik dari segi muat naik status, membuat bebenang Twitter, berkongsi rakaman video dan sebagainya.
Namun, dunia media sosial ini perlu berhati-hati. Hal ini kerana kadangkala belum tentu apa yang kita baca atau lihat itu benar atau palsu.
Menurut laporan Bloomberg, terdapat satu video yang dimuat naik di Facebook Gaming telah memaparkan berita palsu.
Ada video yang mempunyai tajuk “Jet Pejuang Rusia di Ukraine” dan “Siaran Langsung Rusia Mengebom Ukraine”. Malah, ada juga yang membuat tajuk “Berita Tergempar”, siaran langsung di sempadan Ukraine.
Pada saat ia dimuat naik, ada video yang sudah mencapai melebihi 110,000 tontonan serta 25,000 perkongsian. Namun, Facebook telah memadam kandungan tersebut.
Tambahan lagi, video seumpamanya juga dikongsikan menerusi platform Twitter dengan tajuk “peluru berpandu ingin memintas jet Rusia”.
Skripnya sama, ketika dimuat naik di Twitter, ia telah menerima 11000 tanda suka dan hampir 2000 twit semula (retweet). Bagaimanapun, Twitter juga telah mengambil tindakan terhadap twit ini.
Malang sekali, beribu-ribu orang sudah tertipu kerana rakaman video tersebut bukanlah situasi sebenar Ukraine-Rusia. Sebaliknya, video itu datang daripada permainan video simulasi tentera popular, iaitu ARMA III.
ARMA III memang dikenali dengan corak permainan perang realistik dan mempunyai sejumlah komuniti besar juga termasuk di Malaysia. Pun begitu, tidak semua mengenalinya.
Bukanlah kali pertama, ARMA III sebelum ini pernah menerima nasib sama di mana gameplay permainan mereka sering dikongsikan di media sosial termasuk media televisyen.
Oleh yang demikian, tidak salah untuk kita mengetahui terhadap isu semasa. Akan tetapi, semaklah terlebih dahulu sumbernya. Tak pasti, jangan kongsi.
Apa-apa pun, anda boleh saksikan video itu di SINI. Selain itu, berikut merupakan salah satu simulasi anti-udara dalam permainan ARMA III.
Sumber: kotaku
Baca juga: