Dengan Kewujudan Snapdragon 865, Mungkin Akan Tiada Lagi 'Flagship Killer'

Ketika Samsung melancarkan siri Galaxy S20, saya pasti harga yang dijual akan mahal memandangkan siri tersebut merupakan flagship terkini dengan penawaran teknologi lebih canggih.

Sehinggalah pengumuman siri Mi 10 dari Xiaomi, yang sepatutnya menjadi peranti termurah dengan Snapdragon 865, itupun bukan calang-calang harganya. Dengan harga bermula pada 3999 yuan (~RM2370), ia lebih mahal berbanding Mi 9 sebelumnya (2,999 yuan ~ RM1,807).

Kapsyen: Xiaomi Mi 10


Jika anda mengikuti perkembangan siri flagship Mi dari Xiaomi, anda pasti sudah biasa dengan penawaran harga 'marhaen' mereka. Dan Xiaomi buat sekian lamanya sudah menjadi pilihan alternatif pengguna untuk merasa cip terkini Snapdragon dari Qualcomm.

Semua ini menimbulkan pertanyaan, jika Xiaomi tidak mampu mengekalkan harga menjadi murah dengan menggunakan cip Snapdragon 865, jenama atau model lain manakah yang mampu untuk menyediakan alternatif cip terkini dengan harga rendah?

Mahal sangatkah Snapdragon 865?


Buat masa ini, cip ini merupakan penawaran terpantas dari Qualcomm. Dan adalah masuk akal harga kos pembeliannya yang termahal berbanding cip Qualcomm yang lain.

Mengikut kicauan dari @UniverseIce, harga komponen Snapdragon 865 adalah 2 kali ganda lebih mahal berbanding Snapdragon 855! Mengikut laporan, cip Snapdragon 865 sahaja sudah berharga 125USD (~RM526), belum termasuk lagi komponen lain.

https://twitter.com/UniverseIce/status/1232514894861176832

Mahal bukan setakat pantas


Sekarang kita sudah tahu harga cip Snapdragon 865. Tetapi timbul pula satu persoalan, cip-cip sebelum ini pun pantas juga, tetapi mengapa sebelum ini tiada isu pun mengenai harga.

Baiklah, yang pertamanya, disebabkan cip pemprosesan setiap tahun semakin berkuasa, sudah semestinya harga mereka makin meningkat. Jika tidak percaya, imbau kembali pada tahun 2014, di mana anda boleh membeli sebuah 'flagship killer' (OnePlus One) pada harga sekitar ~RM1100 tetapi untuk tahun 2018 anda perlu membayar ~RM1500 pula (Pocophone F1).

Yang keduanya pula berkaitan dengan cip Snapdragon 865 itu sendiri. Tahukah anda peningkatan dan kemajuan spesifikasi Snapdragon 865 bukan hanya setakat kelajuan prestasi sahaja. Ramai juga yang lupa pembelian komponen cip Snapdragon 865 adalah termasuk juga pembelian modem Snapdragon X55 yang mempunyai rangkaian 5G.

Kapsyen: Cip Qualcomm Snapdragon 865


Pendek kata, bukan sahaja pengeluar membeli harga kepantasan prestasi cip, mereka juga terpaksa membayar harga sambungan rangkaian 5G. Bayar 2 perkakas dalam 1 sistem. Patutlah mahal, bukan? Eh, tapi boleh tak pengeluar membeli Snapdragon 865 tanpa rangkaian 5G, tapi hanya guna maksimum rangkaian 4G sahaja untuk jimatkan kos?

Tidak. Pembelian cip Snapdragon 865 perlu disekalikan dengan modem Snapdragon X55. Ini adalah kerana cip ini tidak mempunyai sebarang modem rangkaian langsung.

Dan jika tiada modem rangkaian, pengguna tidak boleh menyambungkan peranti kepada syarikat telekomunikasi seperti contohnya Celcom ataupun Maxis. Qualcomm pula menyatakan hanya modem Snapdragon X55 sahaja yang akan disekalikan dalam Snapdragon 865, bukannya modem lain.

Jadi, pengeluar pula tidak boleh sewenang-wenangnya  memilih untuk memadankan Snapdragon 865 dengan modem lain yang hanya mempunyai maksimum rangkaian 4G.

Secara mudahnya, kesemua peranti yang menggunakan cip Snapdragon 865 akan menyokong rangkaian 5G secara tidak langsung. Mungkin ini cara Qualcomm untuk mengaut keuntungan berganda dalam era pembangunan rangkaian 5G.

Namun ia juga bermaksud ini adalah cara terbaik menurut Qualcomm untuk mendapatkan rangkaian 5G yang super pantas, iaitu dengan padankan modem khas (Snapdragon X55) dengan cip terkini yang juga khas (Snapdragon 865).

Jika anda mahu membaca mengapa Snapdragon 865 tidak mempunyai sebarang modem rangkaian tidak seperti cip sebelum-sebelumnya, boleh ke pautan ini kerana saya ada membuat penjelasan lebih terperinci mengenainya.

Apa maksud di sebalik semua ini?


Sebuah penjelasan yang panjang untuk memberi justifikasi akan tiada flagship Snapdragon 865 yang 'murah'. Itu yang saya cuba jelaskan.

Apa yang penting perlu anda tahu, jika anda tercari-cari model peranti harga berpatutan yang menggunakan Snapdragon 865, dukacita dikhabarkan ia mungkin tidak akan wujud buat masa ini.

Tambahan lagi, bukan hanya Snapdragon 865 sahaja yang akan menyebabkan peranti semakin mahal. Terdapat juga teknologi maju yang lain seperti RAM LPDDR5, sensor kamera terkini seperti 108MP (Mi 10 Pro) dan, lain-lain.

Sedangkan Xiaomi yang terkenal dengan penawaran harga mampu milik pun terpaksa menerima kesan sampingan menaikkan harga peranti menjadi sedikit mahal disebabkan penggunaan cip Snapdragon 865 ini. Takkanlah pula hendak berharap pada syarikat lain yang sudah tentu-tentu lebih mahal harga peranti mereka.

Namun apa yang pasti, buat masa ini, jika dahulunya peranti yang menggunakan cip paling berkuasa pada tahun itu masih boleh dipasarkan dengan harga rendah dan menjadi sebuah 'flagship killer', kini tidak lagi dengan kewujudan Snapdragon 865.

Kapsyen: Pocophone F1 - Peranti yang pernah memegang gelaran 'flagship killer'.


Alternatif lain jika anda mahu mencari peranti seakan 'flagship killer', anda boleh melihat model flagship lama tahun-tahun lepas ataupun memilih model peranti dengan cip kelas pertengahan yang terbaharu seperti Snapdragon 765.

 

Berkaitan