Samsung Galaxy S20, S20+ Dan S20 Ultra Diperkenalkan- Apa Yang Anda Perlu Tahu

Seperti yang kita dapat lihat melalui berita-berita tertiris di internet, Samsung membawakan tiga model dalam barisan S20 kali ini iaitu Galaxy S20, Galaxy S20+ dan Galaxy S20 Ultra dalam acara Samsung Unpacked pada awal pagi ini.



Berikut merupakan spesifikasi penuh untuk ketiga-tiga model dalam siri S20 kali ini.



Ketiga-tiganya memiliki sokongan sambungan 5G tetapi hanya Galaxy S20+ dan Galaxy S20 Ultra mempunyai sokongan 'sub-6' dan 'mmWave' band, manakala Galaxy S20 dengan hanya sambungan 'sub-6'.

Antara yang menjadi perhatian adalah tentang kamera untuk siri S20 kali ini. Tidak mengejutkan apabila Samsung menggunakan sensor 64MP GW1 dan 108MP HMX dalam barisan S20 kali ini.



Kedua-dua Galaxy S20 dan S20+ mampu untuk zoom sejauh 30X manakala Galaxy Ultra pula mampu untuk pergi sebanyak 100X dengan lebel "space zoom" di modul kamera belakang.



Mereka mengambil pendekatan untuk menggunakan rekaan seakan periskop seperti yang digunakan pada Huawei P30 dan Oppo Reno 10X Zoom, iaitu rekaan yang mereka panggil sebagai 'folded lens'.



Melalui rekaan ini, mereka dapat menjimatkan ruang untuk penggunaan zoom yang jauh pada Galaxy Ultra dan pada masa yang sama dapat mengekalkan binaan badan yang nipis.

Seperti yang telah diketahui tentang sensor kamera Samsung sebelum ini, Galaxy S20 Ultra menggunakan teknologi yang dipanggil nona-binning.

Prinsip yang sama seperti pixel binning, ia menggabungkan 9 piksel kepada 1, (108MP/9) menjadikan secara default 12MP dengan saiz piksel yang besar untuk kemasukan cahaya lebih banyak dan gambar lebih cerah.



Siri S20 kali ini turut dilengkapi dengan rakaman video 8K, bersama fungsi penstabilan imej optikal yang digelar 'Super Steady' seperti yang dapat kita lihat pada Samsung Galaxy S10 Lite sebelum ini.

Melalui rakaman 8K ini juga mereka berkata, pengguna boleh mengambil gambar 33MP dari setiap bingkai rakaman video tanpa perlu risau tentang kehilangan kualiti.

Satu lagi perkara menarik tentang siri Galaxy S20 kali ini adalah skrin berkadar segar 120Hz. Namun menurut laporan dari Tech Radar,anda hanya boleh menggunakan kadar segar 120Hz pada tetapan resolusi 1080p sahaja walaupun peranti tersebut memiliki resolusi tertinggi WQHD+ (3040 x 1440).



Harga rasmi untuk ketiga-tiga model ini adalah $999 (~RM4128) untuk S20 5G, $1199 (~RM4954) untuk S20+ 5G dan $1399 (~RM5781)untuk S20 Ultra 5G.

Agak menyedihkan iterasi S10e tidak diteruskan untuk siri S20 kali ini. Kembalikan peranti kompak!

Dalam acara yang sama Samsung turut memperkenalkan peranti boleh lipat kedua mereka iaitu Galaxy Z Flip dan Galaxy Buds+.