Xiaomi Mi 10 Dan Mi 10 Pro Rasmi Dilancarkan - Harga Bermula Sekitar ~RM2370

Model flagship dari Xiaomi yang ditunggu-tunggu sebilangan besar peminat mudah alih kini sudah rasmi dilancarkan hari ini. Membawakan sejumlah spesifikasi terbaik, siri Mi 10 akan dijual pada harga bermula dari 3999 yuan (~RM2370) sehingga 5999 yuan (~RM3560). Ia berbeza dari segi kapasiti memori serta model iaitu Mi 10 dan Mi 10 Pro.



Dari segi spesifikasi, Mi 10 dan Mi 10 Pro kelihatan hampir sama tetapi berbeza pada beberapa bahagian dalaman. Kedua-duanya tampil dengan skrin paparan AMOLED berukuran 6.67 inci bersama resolusi FHD+. Menguatkan lagi ciri paparan itu adalah sokongan kadar penyegaran 90Hz, kadar input 180Hz, HDR10+ serta kecerahan sehingga 1120nit.



Seperti yang diketahui ramai, cip Snapdragon 865 akan menguasakan peranti ini dimana versi asas dan Pro akan hadir dengan tiga variasi memori. Bagi Mi 10 memori yang ditawarkan adalah RAM 8GB/128GB, RAM 8GB/256GB dan RAM 12GB/256GB. Sementara itu Mi 10 Pro mempunyai RAM 8GB/256GB, RAM 12GB/256GB dan paling tinggi adalah variasi RAM 12GB/512GB. Storan digunakan pada kedua-dua model berasaskan UFS 3.0.



Fungsi rakaman foto serta video pada Mi 10 dan Mi 10 Pro ditugaskan kepada kamera utama 108MP. Ia dibantu oleh lensa 12MP telefoto, 8MP telefoto jarak jauh dan 20MP ultra lebar untuk versi Pro. Sementara Mi 10 pula datang dengan lensa 2MP telefoto, 13MP ultra lebar dan 2MP makro. Rakaman talaan hadapan yang ditempatkan rekaan paparan berlubang menggunapakai kamera 20MP.



Janaan kuasa peranti pada Mi 10 lebih besar dengan bateri 4780mAh; 30W pengecasan pantas, 30W pengecasan tanpa wayar dan 10W pengecasan berbalik. Versi Pro pula diberi keupayaan 50W pengecasan pantas, 30W pengecasan tanpa wayar dan 10W pengecasan berbalik.

Harga jualan di China adalah seperti berikut;

Mi 10

  • RAM 8GB/128GB - 3999 yuan (~RM2371)

  • RAM 8GB/256GB - 4299 yuan (~RM2550)

  • RAM 12GB/256GB - 4699 yuan (~RM2786)


Mi 10 Pro

  • RAM 8GB/256GB - 4999 yuan (~RM 2965)

  • RAM 12GB/256GB - 5499 yuan (~RM3261)

  • RAM 12GB/512GB - 5999 yuan (~RM3558)




Harga yang dipaparkan adalah mengikut tukaran matawang asing semasa dan mungkin boleh memberi sedikit gambaran kepada anda. Bagi pasaran global, tarikh 23 Februari telah ditetapkan tetapi oleh kerana acara MWC 2020 dibatalkan, berkemungkinan ia dianjak ke tarikh yang lain.



Dalam pada itu, hasil kamera Mi 10 Pro yang diuji DxOMark telah meraih kedudukan teratas dalam senarai penanda aras kamera. Ia memintas Huawei Mate 30 Pro dengan skor 124.