Denda RM200,000 Jika Pelitup Muka Bukan Perubatan Tak Diperakui SIRIM

Mulai 4 Julai 2022, pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan diwajibkan memohon pensijilan MS SIRIM dan penandaan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Ini berikutan pewartaan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan, di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Seperti yang semua tahu, kini terdapat pelbagai jenis pelitup muka yang tersedia di pasaran. Namun, tidak semua menepati piawaian ataupun berkualiti.

Justeru itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, langkah pewartaan ini untuk memastikan pelitup muka bukan perubatan, sama ada keluaran tempatan atau import, mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Setiap pengeluar dan pengimport pelitup muka nanti perlu meletakkan label MS SIRIM, yang menunjukkan kualiti, pada kotak atau bungkusan dan mudah dilihat oleh pengguna

KPDNHEP juga berharap pematuhan piawaian ini akan menyelesaikan isu lambakan topeng yang tidak berkualiti di pasaran tempatan.

Pelitup muka substandard membawa risiko penapisan yang lemah, membolehkan penembusan zarah virus dan menjadikan produk hampir tidak berkesan.

Peniaga individu yang gagal mematuhi syarat baharu itu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama manakala kesalahan berikutnya boleh meningkatkan had kepada RM250,000 dan penjara lima tahun.

Bagi syarikat yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan, mereka berdepan denda sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 bagi kesalahan susulan.

Sumber: BERNAMA

Baca juga: