CEO Xiaomi, Lei Jun Kalah Pertaruhan 1 Bilion Yuan

Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas kepada Xiaomi, Lei Jun dikhabarkan telah kalah pertaruhan bernilai 1 bilion yuan.

Memetik laporan dari Bloomberg, pertaruhan itu dibuat oleh Lei Jun pada satu program yang disiarkan saluran televisyen nasional China sekitar Disember 2013. Ia merupakan cabaran membabitkan keuntungan dalam masa 5 tahun antara Xiaomi dan  Gree Electric Appliances Inc.

"Let the entire nation be our witness, if our revenues beat Gree’s in five years, Chairwoman Dong, please pay me one yuan," ujar Lei Jun kepada Dong Mingzhu, pengerusi Gree Electric Appliances Inc yang merupakan salah satu syarikat perkakasan elektrik terbesar di negara Tembok Besar itu.

Ia bagaimanapun dibalas oleh Dong dengan menyatakan  "Let’s make that bet 1 billion" dimana ia juga disaksikan oleh pengasas Alibaba Group, Jack Ma dan pengasas Dalian Wanda Group Co., Wang Jianlin. Ketika cabaran itu dibuat, Gree mempunyai kemampuan lebih besar berbanding Xiaomi dari segi keuntungan, kilang serta jumlah pekerja.

Walaubagaimanapun, berdasarkan laporan keuntungan untuk tahun 2018 menyaksikan Gree memperoleh 198 bilion yuan, kira-kira 20 bilion yuan melebihi keuntungan yang diperoleh Xiaomi dalam tempoh waktu yang sama. Difahamkan juga, saham Xiaomi turun 30% sejak disenaraikan di Hong Kong pada bulan Julai tahun lalu.

Menurut laporan Bloomberg lagi, wakil Xiaomi dan jurucakap Gree enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu selepas dihubungi pada Isnin lepas.

Sumber: Bloomberg