Cara Untuk Muat Turun Gambar Dan Video Dari Google Photos

Google Photos merupakan perkhidmatan penstoran gambar dan video dalam talian yang ditawarkan secara percuma tanpa had. Namun kini, pihak Google mengumumkan bermula 1 Jun 2021, platform itu tidak lagi menyediakan penstoran percuma tanpa had.

Ini bermakna, hanya kuota Google Account sebanyak 15GB sahaja yang akan diberikan. Jika mahukan penstoran foto dan video tanpa had, hanya peranti Google Pixel yang terkecuali dari polisi baru ini dan selebihnya anda perlu membuat langganan Google One.

Walaupun begitu, Google memaklumkan gambar yang telah disandarkan atau dimuat naik sebelum 1 Jun 2021 akan kekal tersimpan dalam Google Photos.

Jika anda risau sebarang kemungkinan dan ingin memindahkan semua gambar tersebut, kami sediakan beberapa langkah untuk memindahkan atau memuat turun salinan kandungan gambar dan video di Google Photos.

Cara export/muat turun gambar di Google Photos


Perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah dengan mengakses perkhidmatan Google Takeout. Pastikan anda log masuk akaun Google untuk meneruskan langkah seterusnya.

muat turun fail google photos

Setelah itu, tekan pada "Deselect all". Tatal ke bawah sehingga melihat Google Photos sebagai pilihan. Tanda pada kotak yang tersedia di sebelah Google Photos dan tekan pada "Next step" untuk meneruskan langkah berikutnya.



Pilih cara pemindahan fail di Google Photos sama ada melalui pautan muat turun di e-mel, Drive, Dropbox, OneDrive atau Box.

muat turun fail google photos

Kemudian pilih jenis fail sama ada .zip atau .tgz dan saiz pemindahan fail antara 1GB hingga 50GB. Seterusnya, tekan pada "Create export".



Perlu diketahui, jika kandungan yang dipindahkan melebihi saiz yang dipilih, fail tersebut akan dibahagi kepada beberapa bahagian.

Sementara itu, fail .zip yang melebihi 2GB akan dimuatkan dalam format zip64. Sistem operasi yang lama mungkin tidak dapat membuka format fail jenis ini. Namun, terdapat beberapa aplikasi lain yang boleh membuka fail zip64.

Berbalik kepada langkah seterusnya, proses pemindahan salinan foto dan video di Google Photos akan mengambil sedikit masa. Setelah itu, pautan muat turun fail yang telah selesai diproses akan dihantar melalui e-mel.



Buka e-mel tersebut dan tekan pada "Download your files". Anda mungkin perlu log masuk ke akaun Google terlebih dahulu. Kemudian, tekan "Download" dan fail tersebut akan mula dimuat turun pada PC atau telefon anda.

Proses muat turun ini mungkin mengambil masa beberapa jam atau hari bergantung kepada kelajuan data internet dan saiz fail yang dimuat turun.

Selesai. Semoga tips pada kali ini memberi manfaat untuk anda.