Tidak boleh dinafikan lagi, teknologi AI memang memberikan banyak kemudahan kepada manusia terutama sekali, pelajar.
Disebabkan ini, ramai pelajar yang gunakannya untuk mempercepat dan memudahkan proses membuat tugasan. Contohnya, untuk buat research, slide, ataupun untuk cari idea. Tapi, adakah anda pasti anda gunakan AI untuk ‘bantu’ dan bukan ‘buatkan’ tugasan anda?
Sebagai seorang pelajar universiti, ini dia cara yang betul untuk anda guna sebagai pelajar, agar anda menggunakan teknologi AI tanpa terlalu bergantung kepadanya.
1. Cari Idea bukan Hasil Akhir
Anda boleh gunakan AI untuk cari idea yang menarik bagi tugasan anda. Cara ini sangat menjimatkan masa dan memudahkan anda untuk menghasilkan tugasan yang berkualiti. Terutama sekali untuk tugasan dalam bidang kreatif seperti penulisan, perfileman, fesyen dan banyak lagi.
Misalnya, anda boleh minta AI tuliskan satu prompt ringkas atau senaraikan terus idea tema yang boleh digunakan untuk anda menulis puisi, cerita, atau skrip. Dengan ini, anda boleh kembangkan idea yang diberi bagi mendapatkan hasil kerja yang menarik menggunakan gaya penulisan anda yang unik.
2. Kekalkan Sentuhan Manusia
Ini adalah antara ciri yang tidak dapat AI tiru kerana ia adalah ciri peribadi. Sentuhan manusia seperti gaya penulisan, teknik melukis, dan gaya rekaan adalah ciri yang memberikan ‘rasa’ kepada hasil kerja sesuatu tugasan.
Contohnya, anda boleh minta AI memberikan idea atau contoh penulisan puisi dan cerita untuk dijadikan inspirasi. Tapi, gaya penulisan anda yang akan memberikan rasa istimewa kepada para pembaca.
Begitu juga dengan pembikinan filem. AI boleh bantu pengarah untuk menghasilkan rangka skrip atau papan cerita. Namun, cara pengarah itu mengatur setiap pergerakan kamera bagi setiap babak itu yang akan menjadikan sesebuah filem itu lebih dekat dengan penonton.
3. Mudahkan Kerja Kecil yang Makan Masa
Anda juga boleh menggunakan AI untuk mudahkan kerja-kerja kecil dan leceh yang makan masa. Antaranya seperti menyusun senarai rujukan mengikut format APA atau menyusun senarai isi kandungan mengikut urutan huruf yang betul.
Ini akan memudahkan kerja anda serta membolehkan anda fokus kepada tugasan sepenuhnya. Anda akan ada lebih masa untuk membuat penyelidikan yang teliti dan untuk mencari idea yang lebih menarik. Kesannya, hasil kerja yang dihasilkan akan lebih teliti dan kemas.
4. Sentiasa Semak Semula Fakta
Bagi anda yang menggunakan AI untuk membuat carian maklumat, pastikan anda sentiasa menyemak semula kesahihan maklumat yang diperoleh.
Sebagai contoh jika anda menulis esei tentang sesuatu topik, mendapatkan maklumat berkaitan topik tersebut melalui AI sememangnya lebih senang dan cepat. Namun, anda perlu membuat carian sendiri untuk memastikan maklumat yang diberi benar-benar sahih.
Ia adalah lebih baik jika AI yang anda gunakan menyertakan pautan rujukan buat anda. Mudah untuk anda merujuk terus pautan yang diberikan bagi memastikan kesahihan info tersebut. Sekali gus, pautan itu boleh digunakan dalam senarai rujukan.
Ramai yang terlepas pandang berkaitan melakukan pengesahan fakta. AI sendiri memberi notis “AI boleh buat silap, sila semak” tetapi manusia yang boleh berfikir terus menerima bulat-bulat dengan apa yang diberi.
5. Jadikan AI Sebagai Pembantu Belajar
Selain memudahkan proses kerja, teknologi AI ini juga boleh memudahkan proses belajar. Ia boleh dijadikan teman belajar yang akan menerangkan topik-topik yang anda kurang faham. Apabila kefahaman anda lebih mendalam tentang sesuatu topik, lebih mudah untuk anda menyelesaikan tugasan berkaitan topik itu.
Misalnya, jika anda perlu menyelesaikan satu tugasan berkaitan sebuah konsep yang rumit, anda boleh meminta AI menerangkan konsep itu dalam bahasa yang lebih mudah difahami. Anda juga boleh memintanya untuk memberikan contoh yang senang untuk dibayangkan.
6. Minta AI Nilai dan Semak
Teknologi AI juga boleh digunakan untuk menyemak semula atau meminta cadangan penambahbaikan bagi hasil kerja anda. Ini memudahkan anda mengenal pasti kelemahan hasil kerja agar anda boleh menambah baik sebelum menghantarnya ke penilaian akhir.
Ia juga boleh menjadi satu cara yang mudah untuk anda belajar dari kesilapan.
Anda boleh menggunakan Grammarly atau QuillBot untuk menyemak tatabahasa, kesalahan ejaan dan kesesuaian perkataan dalam penulisan anda. Cara ini boleh digunakan dalam penulisan akademik, ulasan, esei serta penulisan tesis.
Dengan ini juga, diri anda boleh dilatih untuk tidak mengulangi kesilapan yang lepas. Sama seperti mengulang kaji menggunakan flashcards dan kuiz.
Kesimpulannya, AI bukanlah punca manusia semakin malas berfikir tetapi cara ia digunakan oleh seseorang manusia itu yang perlu diperbaiki.
Teknologi dicipta untuk memudahkan urusan kita pada masa sekarang dan akan datang. Mahupun begitu, jika salah cara kita menggunakannya, salah hasil yang kita akan dapat.
{suggest}
