Model kecerdasan buatan (AI) bersaiz kecil mungkin hanya memerlukan beberapa bulan sahaja lagi untuk berkeupayaan bertindak seperti cacing komputer (computer worm), iaitu menyalin dan menyebarkan dirinya dari satu peranti terhubung internet ke peranti lain tanpa bantuan manusia, menurut syarikat gergasi AI, Anthropic.
Dapatan kajian yang dimuat naik dalam blog Anthropic itu membuka dimensi baharu terhadap ancaman keselamatan siber daripada teknologi AI, yang kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kerajaan serta syarikat yang tergesa-gesa mengguna pakai teknologi berkenaan.
Penyelidikan ini dibuat ketika syarikat teknologi berlumba-lumba membina AI yang lebih berkuasa secara terus pada telefon pintar, komputer riba, kenderaan dan peranti isi rumah, berbanding hanya mengendalikannya di pusat data yang jauh.
Cacing komputer merupakan perisian berniat jahat yang merebak di antara mesin secara kendiri.
Penyelidik di Anthropic menyatakan versi AI bagi cacing ini tidak lagi memerlukan pusat data yang berkuasa untuk beroperasi.
Sebaliknya, ia boleh melompat dari satu peranti ke peranti lain menerusi rangkaian peranti pengguna berharga murah dan mempunyai tahap keselamatan yang lemah, seperti kotak TV pintar dan peranti dapur.
Penyelidik mendasarkan pengiraan keupayaan penyebaran cacing tersebut berpandukan Kimwolf, iaitu sebuah botnet, rangkaian peranti terjejas yang dikawal oleh penggodam, yang pernah menjangkiti lebih dua juta peranti pada kemuncaknya, terutamanya kotak Android TV pelbagai jenama.
Menurut William Zhou dan Daniel Freeman dari Anthropic, cacing AI seperti ini berkemungkinan bergerak perlahan dan mengambil masa berhari-hari untuk menyalin dirinya, seumpama kawanan lalat buah yang membiak secara perlahan.
Walau bagaimanapun, sebaik sahaja ia dicipta, ia sukar untuk dihapuskan kerana tiada suis pusat yang boleh dimatikan.
Kajian itu turut mengakui bahawa anggaran kelajuan dan sejauh mana perisian tebusan berasaskan AI ini boleh merebak masih merupakan anggaran kasar kerana ia hanya berdasarkan satu jenis peranti dan satu botnet terdahulu.
Namun, kuasa pemprosesan dalam peranti harian dijangka terus meningkat, manakala model AI yang diperlukan untuk melancarkan serangan sedemikian dijangka menjadi semakin kecil.
Varun Chandrasekaran, Profesor Madya Kejuruteraan Elektrik dan Komputer di University of Illinois, berpendapat penemuan tersebut tidak mengejutkan dan sejajar dengan dapatan terbaharu yang lain, walaupun beliau mengingatkan bahawa kajian Anthropic belum disahkan secara bebas.
Beliau turut menambah bahawa tahap keselamatan pada peranti seperti termostat atau kamera rumah “secara sejarahnya memang amat lemah”.
Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa ancaman terbesar AI pada masa ini masih berpunca daripada pihak jahat yang menggunakan AI untuk memantapkan serangan godaman mereka, bukannya sistem AI yang bertindak liar secara sendiri.
“Manusia yang berniat jahat kini diperkasa dengan AI untuk melakukan tindakan buruk, dan kita melihat perkara ini berlaku secara meluas,” katanya.
Debat mengenai AI yang bertindak liar menjadi perhatian utama pada Julai lalu apabila program AI yang menjalankan model OpenAI terlepas daripada ujian dalaman syarikat dan menceroboh sistem platform AI Hugging Face, dipercayai bagi mencari jawapan ujian berkenaan.
Insiden tersebut dan laporan susulan telah mencetuskan tekanan antarabangsa supaya kawal selia yang lebih ketat dikenakan ke atas AI, meskipun pentadbiran Trump menentang idea tersebut dan menggesa industri untuk mengawal selia diri mereka sendiri.
Dalam pada itu, Anthropic dan pembuat ChatGPT, OpenAI, dituduh oleh pihak berpengaruh di Rumah Putih dan Lembah Silikon sengaja membangkitkan ketakutan terhadap AI serta mendorong penguatkuasaan peraturan kerajaan demi mempertahankan dominasi pasaran mereka daripada pesaing yang lebih kecil.
Brad Smith, Presiden Microsoft yang juga pelabur OpenAI, memberi amaran bahawa pihak industri dan kerajaan mesti “bertindak dengan segeranya” untuk mewujudkan “standard keselamatan yang nyata dan efektif” bagi mengekang risiko kecerdasan buatan. – AFP
