Awal tahun ini, kesemua peranti BlackBerry dengan BlackBerryOS secara rasminya telah tamat “riwayat” kerana semua fungsi asas termasuk membuat panggilan sudah tidak berfungsi. Peranti BlackBerry dengan Android bagaimanapun masih beroperasi seperti biasa.
BlackBerry ialah nostalgia. Satu jenama yang menjadi kegilaan anak muda dekad lalu kini hanya menjadi sejarah selepas Android dan iOS menguasai pasaran telefon. BlackBerry kemudiannya meninggalkan arena telefon bimbit dan mula berkecimpung dalam bidang perisian kereta pintar dan keselamatan teknologi.
Selepas hak telefon mereka dibeli TCL, mereka kemudiannya membuat “come back” dengan menggunakan Android pada peranti demi kekal relevan dan menawan hati pengguna. Tapi semuanya sudah terlewat. Seperti Nokia, pengguna sudah enak dihanyut teknologi skrin sentuh penuh dengan ekosistem Android yang terbuka. Siapa perlukan BBM bila WhatsApp telah menjadi “darah daging”?
Kali ini, ia akan menjadi “come back” kedua daripada BlackBerry selepas dibeli pula oleh OnwardMobility. Pihak OnwardMobility sebelum ini dikatakan merancang untuk melancarkan telefon BlackBerry 5G pada tahun lalu namun dibatalkan, mungkin disebabkan koronavirus.
Setelah lama berdiam diri, beberapa hari lepas OnwardMobility telah mengeluarkan kenyataan dengan tajuk, “Contrary to popular belief, we are not dead.” Mereka mengatakan tahun 2021 agak mencabar untuk mereka lancarkan peranti baru namun berjanji akan menyediakan maklumat terkini dengan lebih kerap selepas ini.
“While we encountered various delays that prevented us from shipping in 2021, we will be providing more regular updates starting this month that will clarify and answer many of your questions about the ultra-secure 5G enterprise smartphone (still with a keyboard!) we’re bringing to market.”
Peranti BlackBerry yang akan dilancarkan ini disahkan akan menjalankan Android, menyokong rangkaian 5G dan mempunyai papan kekunci fizikal, sebuah identiti yang masih diteruskan. LetsGoDigital seperti biasa telah mencipta imej komputer yang mungkin menjadi reka bentuk peranti ini.
Beberapa sumber juga melaporkan mereka akan bekerjasama dengan anak syarikat Foxconn, FIH Mobile Limited untuk mengeluarkan model ini. Untuk makluman, Foxconn juga salah satu pembekal untuk jenama gergasi seperti Apple, Nokia dan Xiaomi.
CEO OnwardMobility berkata peranti akan datang ini akan menjadi peranti andalan global. Masih tiada banyak maklumat berkenaan peranti ini namun dikatakan harganya sekitar USD800 (RM3,200) yang mana agak mahal bagi sebuah jenama yang telah lama hilang pegangan dalam pasaran.
Untuk sebuah peranti andalan dilancarkan tahun 2022, kami mengharapkan ia hadir dengan bateri besar, kamera yang setanding telefon andalan lain dan sokongan perisian yang baik. Memandangkan mereka masih masih mahu mengekalkan rekaan papan kekunci, maka kami mengharapkan papan kekunci yang praktikal dan memberi rasa premium sehinggakan setiap yang menggunakannya ingin kembali ke era papan kunci BlackBerry lalu memecahkan skrin AMOLED telefon Android yang lain.
Jika BlackBerry 5G ini hanya sebuah peranti Android dengan papan kekunci tanpa prestasi andalan sokongan kemas kini Android yang kerap, maka tidak mustahil ini sekali lagi akan menjadi nisan kedua untuk BlackBerry.
Baca juga: