Seperti yang dilaporkan sebelum ini, aplikasi Be U akan ditamatkan sepenuhnya dan pengguna perlu beralih ke BIMB Mobile untuk terus mengakses perkhidmatan perbankan Bank Islam.
Susulan peralihan tersebut, Bank Islam kini menggesa pengguna untuk menutup akaun Be U serta memindahkan baki wang yang masih ada menjelang 31 Julai 2026. Menurut maklumat yang dikongsikan, proses tersebut boleh dilakukan terus melalui aplikasi dan hanya melibatkan beberapa langkah mudah.
Cara Tutup Akaun Be U
Untuk memulakan proses, buka aplikasi Be U dan ikut langkah di bawah:
- Pilih pilihan “Close Account” yang dipaparkan pada halaman utama.
- Pilih akaun Be U yang ingin ditutup.
- Masukkan maklumat akaun bank penerima yang akan digunakan untuk menerima baki wang yang masih terdapat dalam akaun Be U.
- Semak semula maklumat akaun penerima termasuk nama bank, nombor akaun dan nama pemegang akaun bagi memastikan semuanya tepat sebelum menghantar permohonan.
- Hantar permohonan dan permintaan penutupan akaun akan diproses oleh Bank Islam. Pengguna akan dimaklumkan apabila proses tersebut selesai.

Bank Islam turut mengingatkan supaya akaun bank penerima berada dalam keadaan aktif dan semua maklumat yang dimasukkan adalah tepat bagi mengelakkan sebarang masalah ketika proses pemindahan baki dilakukan.
Apa Berlaku Jika Tiada Tindakan Diambil?
Sekiranya tiada tindakan diambil menjelang 31 Julai 2026, akaun Be U termasuk Qard Savings Account-i dan Awfar Account tidak lagi boleh digunakan untuk transaksi.
Kad Debit Visa Be U juga akan berhenti berfungsi dan pengguna tidak lagi boleh menerima atau memindahkan dana melalui akaun tersebut.
Namun begitu, akaun berkenaan mungkin masih dipaparkan dalam BIMB Mobile dalam mod paparan sahaja bagi membolehkan pengguna menyemak baki. Untuk pengeluaran baki atau tindakan lanjut, pengguna perlu mendapatkan bantuan daripada pasukan khidmat pelanggan Bank Islam.
Bank Islam turut memaklumkan sebarang baki wang atau produk aktif yang masih dikaitkan dengan akaun tersebut akan terus dilindungi mengikut terma dan syarat bank.
Bagi pengguna yang masih belum beralih ke BIMB Mobile, proses penutupan akaun dan pemindahan baki disarankan diselesaikan menjelang 31 Julai 2026 bagi memastikan urusan perbankan terus berjalan lancar selepas Be U ditamatkan sepenuhnya.
{suggest}
