Bagaimana Teknologi AI Boleh Mengesan COVID-19 Melalui Rakaman Bunyi Batuk?

Umum mengetahui, seseorang yang dijangkiti COVID-19 tanpa gejala (asimptomatik) boleh menyebarkan wabak ini tanpa disedari berikutan tiada tanda-tanda yang menunjukkan mereka sakit.

Namun, dengan teknologi algoritma MIT Open Voice yang dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik di MIT, ia dapat mengesan simptom COVID-19 melalui bunyi batuk.

cough covid 19

Algoritma yang menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) ini diadaptasi daripada model pengesanan Alzheimer dalam usaha untuk mengesan COVID-19. Melalui kajian ini, penyelidik telah mengumpul 70,000 sampel rakaman individu dengan batuk secara paksaan (forced-cough).

Dari jumlah tersebut, 2660 pesakit mempunyai COVID-19, dengan atau tanpa gejala. Ia kemudian menggunakan 4256 sampel untuk melatih model AI dan 1064 sampel untuk menguji jika ia dapat mengesan perbezaan antara batuk pesakit COVID-19 dan seseorang yang sihat.

Melalui kajian berkenaan, ia mendapati terdapat perbezaan bunyi batuk antara seseorang yang dijangkiti COVID-19 dan yang sihat.

cough covid 19

Dengan perbezaan bunyi tersebut, model AI yang dihasilkan berjaya mengenalpasti 98.5% individu dengan COVID-19 dan 94.2% individu yang tidak dijangkiti COVID-19.

Bagi individu yang tidak bergejala, model tersebut berjaya mengesan 100% individu dengan COVID-19 danĀ 83.2% individu yang tidak dijangkiti COVID-19.

Buat masa ini, pasukan penyelidik berkenaan dalam proses mendapat kelulusan kawal selia untuk aplikasi yang boleh menggunakan model tersebut. Mereka turut menguji model AI tersebut melalui ujian klinikal di beberapa hospital seluruh dunia.

Jika berjaya, ia mungkin dapat menghasilkan aplikasi yang boleh digunakan sebagai peralatan ujian pra-saringan COVID-19 secara percuma, dalam masa-nyata dan sebagainya.

Bagaimana pula pendapat anda mengenai teknologi ini? Tinggalkan komen anda.

Sumber: IEEE via LiveScience, Slashdot