Apple Mengatakan Membaik Pulih Sendiri iPhone Boleh Mencederakan Diri Pengguna

Ini adalah cubaan Apple menghalang perlaksanaan undang-undang hak membaik pulih peranti oleh pengguna di California.


Apple baru-baru ini dilaporkan telah mewakilkan pelobi CompTIA membuat pertemuan tertutup dengan pihak penggubal undang-undang California dalam usaha mereka untuk meminta pihak tersebut menghalang undang-undang hak pengguna untuk membaik pulih peranti iPhone milik mereka sendiri daripada dikuatkuasakan.

Menurut Apple, membaik pulih peranti iPhone dari pihak ketiga atau pemilik cuba membaiki sendiri peranti tersebut boleh mencederakan diri mereka sendiri.

Kenyataan Apple tersebut kepada penggubal undang-undang California lebih kepada bentuk desakan dalam cubaan mereka untuk mengawal sepenuhnya produk-produk keluaran mereka.

Malah ia juga dilihat sebagai tindakan Apple untuk mengaut lebih banyak keuntungan dengan cuba menakut-nakutkan pengguna dan mahu para pengguna iPhone membelanjakan wang mereka dengan membeli servis tambahan yang disediakan mereka sendiri seperti Apple Care.

Apple sememangnya diketahui bahawa mereka cuba untuk mengawal sepenuhnya produk-produk mereka daripada dibaik pulih oleh pihak ketiga.

Ini bukan sahaja untuk produk iPhone tetapi juga turut kepada produk mereka yang lain seperti komputer Macintosh di mana mereka telah memuatkan cip T2 yang dibangunkan mereka ke dalam model-model Mac terbaru bagi menghalang pihak ketiga daripada mengakses bagi membaik pulih perkakasan dan sistem Mac.

Sumber: Motherboard

P/s: Sungguhpun kenyataan Apple ini seperti agak keterlaluan, tetapi sekadar nasihat, sekiranya anda tidak mempunyai kepakaran atau mahir membaik pulih peranti iPhone, ada baiknya anda jangan membuatnya sendiri.

Ini kerana bateri lithium-ion di dalam iPhone adalah perkakasan yang sensitif dan mudah terbakar jika ia disalah urus.

Berkaitan