Apple Jadualkan Satu Acara Khas Pada 12 September, Mungkin Bagi Pelancaran Model iPhone Terbaru

Apple dilihat telah menjadualkan satu acara 'misteri' yang bakal diadakan pada 12 September ini bertempat di Steve Jobs Theater, Cupertino. Perkara itu didedahkan melalui satu poster jemputan media ke majlis tersebut yang tersebar meluas di internet.

Kredit : MacRumors


Ramai pemerhati yang berpendapat bahawa acara tersebut diadakan bertujuan untuk memperkenalkan tiga model iPhone terbaru serta siri jam pintar, Apple Watch Series 4. Sehubungan dengan itu, beberapa imej tidak rasmi kedua-dua peranti ini telah didedahkan di internet secara berleluasa.

Kredit : 9to5Mac


Imej yang diperolehi daripada laman 9to5Mac di atas dikatakan adalah merupakan generasi iPhone XS. Kedua-duanya ialah model premium yang akan menggunakan skrin OLED bersaiz 5.8-inci dan 6.5-inci.

Kredit : MacRumors


Manakala imej kedua ini pula kami perolehi daripada laman Mac Rumors, di mana ia memaparkan panel belakang ketiga-tiga model terbaru iPhone 2018. Ia termasuklah peranti mampu milik yang menggunakan skrin LCD serta kamera utama lensa tunggal, berada di antara dua model lain dalam gambar.



Laman ini turut mendedahkan anggaran imej sebenar bagi jam pintar Apple Watch Series 4 yang diperolehi daripada @VenyaGeskin1 dalam kiriman yang sama. Siri kali ini dilaporkan akan hadir dengan paparan yang lebih besar, berikutan saiz bezel yang telah diminimakan.

Namun, seperti biasa, semua informasi di atas masih lagi di peringkat ura-ura kerana sehingga kini, hanya pihak Apple sahaja yang tahu apakah tujuan sebenar acara misteri itu diadakan. Sama-sama kita nantikan samada benar atau tidak andaian pemerhati industri ini.

 

Sumber : 9to5Mac, Mac Rumors