iPhone untuk pasaran China akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) daripada Alibaba Group Holding Ltd, menurut pengerusi syarikat itu pada Khamis.
Kerjasama ini dianggap sebagai kemenangan besar bagi Alibaba dalam pasaran AI yang kompetitif di China, yang turut menempatkan DeepSeek — syarikat yang mencuri tumpuan tahun ini dengan model AI yang dibangunkan pada kos jauh lebih rendah berbanding pesaing dari Barat.
Pengesahan ini juga menamatkan spekulasi selama berbulan-bulan mengenai strategi AI Apple di negara itu, selepas syarikat tersebut dilapor mengadakan perbincangan dengan peneraju teknologi China seperti Baidu, ByteDance dan Tencent.
“Mereka telah berbincang dengan beberapa syarikat di China, dan akhirnya memilih untuk bekerjasama dengan kami. Mereka mahu menggunakan teknologi AI kami untuk menguasakan telefon mereka. Kami berasa amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan sebuah syarikat hebat seperti Apple,” kata Joe Tsai ketika berucap di World Government Summit di Dubai.
Seperti diketahui, peranti Apple di luar pasaran China menggunakan gabungan teknologi Apple Intelligence milik syarikat itu dan ChatGPT daripada OpenAI untuk menyediakan ciri AI. Namun, Tsai tidak memperincikan sama ada kerjasama dengan Alibaba akan mengikut model yang sama.
Di China, produk AI yang berorientasikan pengguna memerlukan kelulusan pihak berkuasa. Menurut laporan The Information sebelum ini, Alibaba dan Apple telah pun menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan kelulusan.
Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada butiran mengenai tarikh pelancaran Apple Intelligence di China.
Apple juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan, sekurang-kurangnya sehingga artikel ini ditulis.
{suggest}
Sumber: Reuters