Apple Beli Syarikat Pengecaman Wajah Dari Israel

Apple dilaporkan sudah melengkapkan pembelian sebuah syarikat start-up dari Israel, dikenali sebagai RealFace. RealFace merupakan sebuah firma yang membangunkan perisian berasaskan pengecaman wajah. Mula diasaskan pada 2014 oleh Adi Eckhouse Barzilai dan Aviv Mader, syarikat tersebut mula memperkenalkan aplikasi pertama dikenali sebagai Pickeez.

Menurut Times of Israel, Apple dipercayai mengambil alih RealFace pada harga 2 juta USD atau mungkin lebih dari itu. Terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa iPhone 8 dan beberapa model yang akan dikeluarkan pada tahun ini mungkin akan dilengkapi dengan fungsi keselamatan pengecaman wajah yang dikuasakan dengan pengimbas laser 3D.

RealFace bukanlah syarikat pertama dari Israel yang dibeli oleh Apple, dimana gergasi pengeluar telefon tersebut sudah membeli Prime Sense untuk teknologi gerakan 3D, Anobit yang membangunkan storan flash, dan Linx untuk teknologi dwi-kamera.

Dengan pembelian RealFace ini, ramai berpendapat Apple memberi bayangan yang mereka akan membangunkan teknologi Realiti Tambahan (Augmented Reality). Pihak Apple dan RealFace masih belum memberikan apa-apa ulasan tentang perkara ini walaupun berita pembelian tersebut sudah disiarkan di blog dan laman web terkemuka dunia.

[embed]https://www.youtube.com/watch?v=UlxCaT-zzvQ[/embed]

Sumber; AppleInsider, Times of Israel