Pada tahun 2013, dunia media sosial mula dilanda ‘Vine’ – video enam saat yang boleh dirakam dan dikongsi dengan orang lain dengan mudah.
Perkhidmatan ini dilancarkan pada tahun 2013, yang popularitinya dengan pantas meningkat, dengan hampir 200 juta pengguna aktif menjelang 2015.
Namun hanya dua tahun kemudian, keupayaan untuk memuat naik video telah dialih keluar, dan menjelang 2017, perkhidmatan Vine ditutup sepenuhnya.
Jadi, apakah punca dan apa sebenarnya yang telah berlaku kepada Vine?
Apa itu Vine?
Dilancarkan pada tahun 2013 oleh tiga usahawan, – Dom Hofmann, Rus Yusupov, dan Colin Kroll – Vine ialah perkhidmatan video, yang membenarkan pengguna berkongsi klip video bergelung (loop) enam saat.
Pengguna boleh menyemak imbas dan menemui video Vine yang menarik berdasarkan tema, seperti komedi atau muzik, dan melalui bahagian yang mempamerkan Vine yang menjadi trending.
Apabila ia dilancarkan, Vine telah dibandingkan dengan Instagram.
Berbeza dengan Instagram yang pada waktu itu hanya boleh memuat naik gambar, Vine membolehkan pengguna untuk memuat naik video.
Ini memberikan Vine segmen terbuka pasaran untuk disasarkan.
Bahkan, jika kita lihat kini, video-video kompilasi Vine yang menarik dahulu banyak dimuat naik di YouTube, membuktikan Vine terus mengekalkan populariti walaupun sudah tiada.
Kejatuhan Vine
Apabila Vine dilancarkan pada tahun 2013, Twitter telah pun membeli perkhidmatan tersebut daripada trio usahawan asal.
Setelah bertahun-tahun di bawah pemilikan Twitter, Vine mula menghadapi persaingan yang sukar.
Instagram dengan pantas memperkenalkan ‘Instagram Video’, di mana pengguna boleh memuat naik video 15 saat. Sejak itu, bermulanya penamat untuk Vine.
Selain itu, eksekutif Vine dan pengasasnya dilaporkan menentang idea untuk mengewangkan platform dan pengiklan mula mengakui bahawa mereka ingin mencipta kandungan lebih lama daripada enam saat.
Sebenarnya, pengiklan atau jenama-jenama ini ketika itu sanggup untuk membayar pencipta kandungan Vine untuk membuat iklan dan berkongsi dengan jutaan pengikut mereka.
Namun disebabkan pihak pengurusan Vine tidak menyukai idea untuk mengewangkan platform, ia menimbulkan masalah buat syarikat, dan dikatakan telah menjadi penyebab Twitter menghentikan perkhidmatan Vine.
Pada 27 Oktober 2016, Twitter secara rasmi mengumumkan bahawa Vine akan ditamatkan.
Bagaimanapun, Vine tidak henti serta-merta, dan terdapat beberapa percubaan untuk menyelamatkan platform.
Pada 16 Disember 2016, telah diumumkan bahawa Vine akan diteruskan sebagai perkhidmatan kendiri, di mana pengguna kemudiannya boleh menerbitkan video ke Twitter.
Kemudian, pada 20 Januari 2017, Twitter melancarkan arkib semua video Vine, yang turut telah dihentikan pada tahun 2019.
Pesaing dan pengganti
Sepanjang hayatnya, Vine bersaing secara langsung dengan Instagram.
Sejak tempoh itu, Instagram telah mengembangkan ciri videonya, menambah video yang lebih panjang, dan membolehkan pilihan skrin lebar.
Snapchat juga membenarkan perkongsian video berdurasi 10 saat pada Disember 2012.
TikTok juga semakin popular apabila Vine ditutup, dan pada masa ini kekal sebagai salah satu rangkaian paling berjaya untuk berkongsi klip video pendek.
Pengganti rasmi kepada Vine ialah perkhidmatan yang dikenali sebagai Byte, dicipta oleh Dom Hofmann.
Sewaktu pembangunan, Byte dikenali sebagai V2, dan mulai aktif sejak bulan Oktober 2020, dan membolehkan pengguna menyiarkan video antara 2 hingga 6.5 saat.
Byte kemudian telah dijual kepada pesaing, Clash, yang diasaskan oleh bekas pempengaruh Vine, Brendon McNerney.
Sumber: The Verge, TechCrunch
Baca juga: