Saya percaya ramai di antara generasi yang lahir tahun 90-an mempunyai pelbagai kenangan indah tentang Myspace. Bahkan jika dibandingkan dengan media sosial yang ada sekarang, Myspace lebih baik dan menyeronokkan.
Penggunaan platform media sosial hari ini sudah menjadi rutin dan perkara biasa.
Malah, format dan reka bentuk media sosial yang ada juga hampir serupa dan selalunya tiada penekanan sebenar kepada keperibadian pemilik akaun.
Namun, ia berbeza dengan sewaktu “zaman” Myspace dulu. Pengguna boleh mencipta dunia dalam talian sendiri dan berkongsi dengan orang lain.
Oleh itu, mari kita lihat lima sebab kenapa Myspace lebih baik daripada media sosial moden. Teruskan membaca untuk mengetahuinya.
1. Myspace melahirkan ‘pakar’ coding
Sebelum wujudnya platform media sosial yang mudah digunakan seperti Facebook dan Instagram, pengguna Myspace dulu perlu mengekod profil sendiri jika mahukan profil menjadi menarik.
Sehinggakan pengguna perlu mempelajari sedikit tentang penggunaan HTML dan CSS untuk menyesuaikan beberapa reka bentuk pada profil.
Walaupun bunyinya agak merumitkan, namun ia telah membantu membangunkan kemahiran yang juga berguna secara profesional.
Ini bermakna jika pengguna memilih untuk meningkatkan lagi kemahiran pengekodan dan bawa ke dunia sebenar, semestinya kemahiran ini boleh diterapkan dalam kerjaya seperti kejuruteraan komputer atau pembinaan aplikasi.
Bukan itu sahaja, melalui pengekodan juga, muzik latar boleh dimainkan semasa seseorang melawat profil pengguna. Ciri ini yang menjadi antara tarikan utama Myspace dahulu.
2. Profil Myspace menjadi cerminan keperibadian
Media sosial seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok lebih memfokuskan pada penggunaan platform dan kurang pada keperibadian pengguna.
Berlainan dengan Myspace, ia memberi lebih kawalan kepada pengguna untuk membuat pilihan mereka sendiri tentang siapa diri mereka.
Pengguna boleh mengekodkan ciri yang berbeza ke dalam profil, seperti menyembunyikan rakan teratas atau menukar susunan struktur profil.
Pendek kata, segalanya di platform ini boleh disesuaikan mengikut cita rasa sendiri.
Jika dibandingkan dengan Facebook hari ini, rekaannya semua sama. Dengan Myspace, setiap halaman yang anda lawati boleh menunjukkan reka bentuk dan susun atur yang berbeza.
3. Myspace tiada iklan
Platform media sosial hari ini kebanyakannya telah menetapkan reka bentuk yang memastikan anda sentiasa menggunakannya selama yang mungkin.
Disebabkan itu juga, platform-platform ini meletakkan pengiklanan untuk menjana pendapatan dan meraih perhatian pengguna.
Namun, pada zaman Myspace, iklan di internet – apatah lagi Myspace sendiri – tidak sama seperti media sosial hari ini.
4. Muzik diintegrasikan ke dalam platform
Pada era 2000-an, untuk menemukan muzik baharu adalah jauh lebih rumit berbanding hari ini. Dan untuk pencinta muzik dahulu, Myspace-lah tempat pencariannya.
Itulah yang menjadikan rangkaian ini begitu istimewa buat kumpulan muzik dan pencinta muzik.
Myspace memanfaatkan populariti muzik dengan generasi muda dan menyepadukannya ke dalam platform itu sendiri.
Pengguna boleh memainkan lagu semasa orang melawati profil atau membina senarai main sendiri.
Dalam pada itu juga, pengguna boleh mencari muzik di platform dan mencari kumpulan muzik secara rawak untuk mendengar lagu mereka.
Jika difikirkan secara logik, ia adalah sesuatu seperti Spotify hari ini.
Bukan itu sahaja, melalui platform ini juga, ramai bintang dan penyanyi terkenal mula mendapat perhatian pada awal kerjaya mereka.
Penyanyi British, Adele, yang telah memenangi beberapa anugerah Grammy, mula ditemui di Myspace.
Penyanyi tempatan kita, Yuna dan Najwa Latif juga mula menempa nama dalam industri melalui Myspace.
5. Tom menjadi rakan pertama semua pengguna
Apabila anda mendaftar profil media sosial baharu, tentunya anda masih belum mempunyai seorang rakan atau pengikut.
Berbeza dengan Myspace, setiap pengguna yang mendaftar serta-merta akan mempunyai Tom sebagai rakan pertama.
Sesiapa yang pernah menggunakan platform ini pasti akan ingat gambar profil Tom. Gambar yang sangat simple, hanya wajah Tom yang senyum ke arah kamera dengan terdapat papan putih di belakangnya.
Sebaik sahaja anda menyertai Myspace, Tom secara automatik ditambah sebagai rakan pertama anda. Tiada seorang pun daripada jutaan pengguna yang sertai platform ini tidak mempunyai rakan.
Untuk pengetahuan anda, Tom sebenarnya ialah Tom Anderson, yang mengasaskan Myspace pada tahun 2003 dengan Chris DeWolfe.
Gambar profilnya tidak pernah berubah, malah, dia masih menggunakan gambar yang sama di Instagram dan Twitter.
Gunakan media sosial sebaik mungkin
Media sosial sudah menjadi sebahagian dari kehidupan kita, dan Myspace menjadi salah satu yang terawal.
Walaupun ia masih wujud, kebanyakan pengguna telah beralih ke platform lain – jadi ia tidak seseronok dahulu.
Namun, media sosial moden yang ada sekarang tetap mempunyai kelebihan dan faedahnya yang tersendiri.
Sumber: lightspandigital, Alternative Press
{suggest}