Kedua-dua model iPad ini dilengkapi dengan skrin retina 10.5 inci, tetapi yang manakah patut anda beli?
iPad Air pertama kali diperkenalkan adalah pada Oktober 2013. Tahun berikutnya, Apple perkenalkan pula model iPad Air 2 pada Oktober 2014. Tetapi selepas dari itu, Apple tidak lagi mengemaskini peranti tersebut dengan perkakasan yang baru.
Hanya baru-baru ini sahaja iaitu beberapa hari sebelum berlangsungnya acara istimewa Apple pada 26 Mac lepas, Apple secara diam-diam telah terlebih dulu melancarkan model terbaru iPad Air 2019 di laman sesawang mereka.

iPad Air 2019 ini merupakan generasi ketiga dan ia kini dilengkapi dengan skrin retina 10.5″ (saiz paparan model iPad Air sebelum adalah 9.7″) serta dimuatkan cip pemprosesan terbaru A12Bionic yang sama digunakan pada iPhone XR, XS dan XS Max.
Setelah iPad Air dilengkapi dengan skrin bersaiz 10.5″, Apple telah menamatkan pengeluaran model iPad Pro 10.5″ dan tidak lagi menjualnya di laman sesawang rasmi mereka.
Walaubagaimanapun, iPad Pro 10.5″ model 2017 ini masih dijual di pusat-pusat jualan sah Apple diseluruh Malaysia (selagi stok masih ada).
Jadi antara 2 model iPad ini, yang manakah patut anda beli?
iPad Pro 2017 atau iPad Air 2019?
Teradapat beberapa faktor utama yang perlu anda lihat sebelum membuat keputusan membeli iPad Air 2019 atau iPad Pro 10.5″ 2017:-
- Skrin
Kedua-dua iPad ini memiliki skrin retina bersaiz 10.5″. Walaubagaimanapun, skrin iPad Pro 2017 memiliki kelebihan di mana ia dilengkapi dengan teknologi ProMotion yang memberikan “refresh rate” pada kadar 120Hz.
Ia menjadikan skrin retina 10.5″ iPad Pro 2017 lebih responsif pada sentuhan dan memaparkan imej yang jauh lebih baik. “Refresh rate” skrin retina iPad Air 2019 pula hanya sekadar 60Hz sahaja.
- RAM
iPad Pro 2017 dilengkapi dengan RAM berkapasiti 4GB, manakala iPad Air 2019 memiliki RAM 3GB sahaja. Ini memberikan kelebihan pada iPad Pro menjalankan lebih banyak aplikasi sekaligus berbanding iPad Air.
- Cip pemprosesan
Bagi kategori ini, iPad Air 2019 memiliki kelebihan kerana ia menggunakan cip pemprosesan terbaru Apple iaitu A12Bionic yang sedikit lebih berkuasa berbanding cip pemprosesan A10X iPad Pro 2017 yang sudah agak berusia.

- Pembesar suara
iPad Air hanya dilengkapi dengan 2 unit pembesar suara sahaja yang terletak di bahagian bawahnya. Sebaliknya, iPad Pro 2017 dilengkapi sebanyak 4 pembesar suara yang terletak di bahagian bawah dan atasnya.
Jadi sudah tentulah kualiti audio yang dikeluarkan iPad Pro 2017 adalah jauh lebih baik berbanding iPad Air 2019.
- Kamera hadapan (FaceTime HD)
Walaupun kedua-dua model iPad ini dilengkapi dengan kamera hadapan 7 megapiksel, tetapi kamera hadapan iPad Pro 2017 adalah lebih baik berbanding kamera iPad Air 2019.
iPad Pro dilengkapi kamera hadapan yang menyokong beberapa ciri yang tiada pada kamera iPad Air seperti penstabilan imej automatik serta pengesan wajah dan badan.
- Kamera belakang
Begitu juga dengan kamera belakang iPad Pro 10.5 ” adalah lebih baik berbanding iPad Air 2019. Ia dilindungi dengan lensa kristal sapphire.
Malah kamera belakang iPad Pro 2017 adalah 12 megapiksel yang menyokong rakaman video 4K, dilengkapi dengan Quad-LED True Tone flash, rakaman video perlahan sehingga 240 bingkai sesaat (720p), pengesan wajah dan badan serta lain-lain.
Kamera belakang iPad Air 2019 pula hanya 8 megapiksel sahaja dan tidak menyokong sepertimana ciri-ciri yang ada pada kamera iPad Pro 2017.
Jadi sekiranya anda adalah seorang yang lebih mementingkan kualiti video dan fotografi, takkan anda nak beli iPad Air pula kan.
- Harga dan Lain-lain
Harga iPad Pro 10.5″ model 2017 kini berharga dari RM2,399.00 (64GB Wi-Fi) dan harga iPad Air 2019 pula berharga dari RM2,199.00 (64GB Wi-Fi).

Kesimpulan
Secara keseluruhan, iPad Pro 10.5″ model 2017 dan iPad Air 2019 merupakan peranti iOS yang cukup berkuasa.
Sungguhpun iPad Air dilengkapi dengan cip pemprosesan yang terbaru dan sedikit lebih berkuasa, tetapi jangan pandang enteng pada iPad Pro.
Ini kerana iPad Pro ini masih cukup berkuasa dan mampu melaksanakan pelbagai aplikasi berat tanpa membantutkan keseronokan anda menggunakannya.
Secara peribadi, walaupun iPad Pro 10.5″ 2017 merupakan model terdahulu, ia sebenarnya masih berbaloi dibeli dengan kelebihan-kelebihan yang ada padanya yang tiada pada iPad Air 2019 seperti sokongan rakaman video 4K, 4 pembesar suara, kamera yang lebih baik serta menyokong pelbagai ciri-ciri menarik.
Maka kesimpulannya, anda mungkin patut membeli iPad Pro 10.5″ 2017 berbanding iPad Air 2019. Tepuk dada, tanyalah selera….