AMD Nafi Kongsi Teknologi "Sensitif" Kepada China

Pada minggu yang lalu, laporan Wall Street Journal mendakwa AMD telah berkongsi teknologi CPU x86 kepada Sugon Information Industry, sebuah pembuat super komputer yang disokong oleh kerajaan China dan langkah perkongsian tersebut dianggap tidak sesuai.

Turut dinyatakan, AMD ada mewujudkan hubungan kerjasama antara kedua-dua syarikat untuk mengelak undang-undang Amerika Syarikat. Perkara ini dikatakan telah menimbulkan kebimbangan Jabatan Perdagangan dan Jabatan Pertahanan dimana jalinan itu mungkin akan mengancam Amerika Syarikat.

Tidak menunggu lama, AMD tampil memberi penjelasan dengan menyatakan bahawa mereka telah memberitahu Jabatan Perdagangan, Jabatan Pertahanan serta beberapa agensi lain tentang urusan yang terjalin dengan Sugon. Ia tidak mendapat sebarang bantahan berkaitan usahasama atau perkongsian teknologi.

Selain itu, AMD turut berpendapat laporan yang dikeluarkan oleh Wall Street Journal juga tidak menjelaskan butiran seperti "perlindungan penting" yang mana ia akan menghalang China daripada mendapatkan teknologi berharga.

Namun begitu, laporan itu dikatakan sudah terlewat dimana Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat sudah sedia mengeluarkan arahan sekatan perdagangan keatas pembuat superkomputer China, termasuk Sugon. Ini bermakna AMD sudah memutuskan hubungan dengan syarikat tersebut dan masih tiada jaminan sama ada, sekatan itu akan ditarik balik seperti Huawei ataupun tidak.

Sumber: Wall Street Journal, AMD Via Endgadget